suria

Pengantin disihir, jurufoto menggigil diganggu! Terpaksa padam semua gambar kerana wajah terlalu hodoh

Pengantin dikatakan pengsan pada hari majlis perkahwinannya. -Gambar hiasan AI

SEORANG jurufoto berkongsi pengalaman menyeramkan ketika merakam foto pengantin di Pahang, sehinggakan dia menggigil ketakutan melihat gambar-gambar yang diambil.

Menurut lelaki itu, majlis akad nikah berlangsung pada Jumaat malam dan dia perlu memandu empat jam dari Kuala Lumpur untuk sampai ke lokasi.

Katanya, ketika berada di bilik pengantin perempuan, dia mula berasa pelik apabila ibu saudaranya tiba-tiba menghulurkan segelas air kosong.

"Minum air ni, paksu (bapa saudara pengantin) kau dah baca-baca. Aku tak syak apa-apa. Rupanya, Siti (pengantin perempuan) baru rebah pengsan petang tu sebab cermin meja soleknya pecah.

"Katanya pengantin perempuan meracau memanggil nama bekas kekasihnya. Apa-apa pun majlis nikah berjalan dengan lancar," jelasnya.

Namun situasi lebih menyeramkan berlaku selepas pukul 12 malam ketika jurufoto itu memandu pulang ke rumah ibu saudaranya.

Dalam suasana gelap dan sunyi, lagu yang dimainkan dalam kereta tiba-tiba terhenti sebelum dia ternampak kelibat makhluk aneh di tengah jalan.

"Dalam samar-samar kabus tu, aku nampak satu kelibat binatang aneh duduk betul-betul tengah jalan. Macam kura-kura tapi besar sikit dan ekornya panjang!

"Jantung aku berdegup laju gila dan aku terus mengelak dari langgar 'benda' tu. Aku sampai rumah ibu saudara aku dengan selamat," katanya.

Jurufoto itu menggambarkan kelibat aneh yang dilihat seakan-akan kura-kura. -Gambar hiasan AI

Setibanya di rumah ibu saudara, dia terus membuka komputer riba untuk memindahkan foto-foto majlis dari kameranya. 

Namun ia menjadi pengalaman paling menyeramkan dalam hidupnya sepanjang menjadi jurufoto.

"Masa tengah tengok hasil gambar, aku terus menggigil. Semua gambar yang aku ambil, muka pengantin perempuan jadi hodoh gila!

"Muka dia macam nenek tua. Bernanah, bengkak dan mata merah. Aku terus tutup laptop dan lari tidur sebilik dengan sepupu aku. Aku tak berani tidur sorang-sorang," katanya lagi.

Dia menerima satu lagi kejutan apabila melihat 11 panggilan tidak dijawab daripada Siti pada keesokan paginya.

Apabila dihubungi semula, pengantin perempuan bertanya sama ada gambarnya mengalami masalah.

"Pengantin terus tanya gambar ada masalah ke? Rupanya dia sdah boleh agak. Siti kata semua gambar diambil tak kira telefon atau kamera, hasilnya sama.

"Muka dia bernanah dan membengkak. Siti cerita menurut paksu dia, bekas kekasih yang hantar sihir sebab cemburu Siti nak kahwin.

"Aku terus padam semua gambar tu, tak sanggup nak simpan," cerita lelaki itu lagi.

Katanya, pengalaman itu mungkin tidak seteruk kisah seram lain, namun melihat sendiri wajah pengantin berubah buruk dalam semua foto sudah cukup membuatkannya trauma.

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia