BANYAK rumah kampung yang dahulunya meriah dengan gelak tawa bertukar sunyi selepas kematian ibu bapa.
Malah, rumah-rumah itu terbiar kosong apabila zuriat si mati mula membesar, berhijrah dan mencari kehidupan di kota besar.
Situasi sama turut berlaku di rumah keluarga Aina yang terletak di Perak selepas bapanya meninggal pada awal tahun ini.
Sekitar pertengahan tahun, Aina mengambil cuti untuk menziarahi rumah pusaka itu, namun dia dikejutkan dengan satu pendedahan daripada jirannya.
Ketika berborak di pangkin depan rumah, Pak Hamid yang sudah dikenalinya sejak kecil membuka cerita yang cukup mengejutkan Aina.
“Kadang-kadang aku nampak bayang hitam macam arwah ayah kau duduk di beranda. Banyak kali juga aku nampak selepas waktu Maghrib," kata Pak Hamid perlahan sambil matanya memandang ke arah rumah itu.
Aina terdiam seketika, hatinya berdebar-debar, seram bercampur rindu mengenangkan arwah bapanya.

Banyak rumah kampung sunyi selepas anak-anak membesar dan berhijrah ke negeri lain. -Gambar hiasan AI
Cerita Pak Hamid lagi, isteri dan cucunya juga pernah menyaksikan perkara sama, mendakwa sosok yang mirip arwah bapanya muncul tanpa diduga.
Cucunya yang berusia 17 tahun pernah pulang lewat malam selepas keluar berjumpa kawan-kawan dan ternampak kelibat arwah berjalan di sekitar halaman rumah.
"Berlari cucu aku masuk rumah, sampai dia dah takut nak keluar malam," tambah Pak Hamid yang kini berusia lewat 60-an.
Aina hanya mampu beristighfar sambil mengurut dada, matanya juga mula berkaca.
Walaupun dihantui rasa takut selepas mendengar cerita Pak Hamid, Aina tetap memberanikan diri untuk bermalam di rumah itu sendirian.
Selepas pulang ke Kuala Lumpur esoknya, Aina tidak berhenti memikirkan peringatan Pak Hamid, malah hatinya masih gelisah.
Dia segera memaklumkan kepada adik-beradiknya mengenai cerita itu dan mereka bersetuju untuk pulang ke rumah itu dengan lebih kerap.
Ekoran peristiwa itu, Aina dan adik beradiknya mula pulang setiap dua minggu, malah mereka turut mengadakan tahlil serta bacaan Yassin.
Sejak mereka rajin balik ke kampung, Pak Hamid sekeluarga juga sudah tidak diganggu dengan kelibat arwah pada waktu malam.


