PENGALAMAN hitam yang berlaku lima tahun lalu masih segar dalam ingatan wanita ini apabila keluarga bekas kekasih datang ke rumah untuk meminangnya sambil membawa kek coklat dan bantal peluk.
Menurut wanita tersebut dalam perkongsiannya di media sosial, ibu kepada lelaki berkenaan begitu tergesa-gesa mahu meminangnya.
Namun ibunya tidak bersetuju kerana dia masih muda, selain hubungan mereka juga sebenarnya telah berakhir selepas bekas kekasihnya curang dengan rakan sekerja.
Wanita itu berkata, kisah bermula selepas dia menghabiskan kek coklat yang diterima, sejurus keluarga lelaki berkenaan pulang dari rumah mereka.
"Malam tu bermulalah episod saya menangis teringatkan anak dia (bekas kekasih) dari pukul 11 malam sampai subuh. Kemudian pergi kerja asyik sedih macam orang mati suami.

Kejadian aneh berlaku selepas individu itu menerima kek dan bantal pemberian ibu bekas kekasihnya. -Gambar hiasan AI
"Masa pelanggan beli barang, ada seorang tok sami tegur cakap awak ni sakit, balik pergi berubat. Saya pun buat tak tahu je. Dua tiga hari lepas tu ketua kampung pula tegur benda sama.
"Lepas tu mulalah kejadian 'si dia' (entiti) kacau dalam kedai. Setiap kali saya nak buat 'closing' kedai macam-macam jadi. Balik tu saya beritahu mak," ujarnya menceritakan apa yang berlaku.
Bimbang dengan keadaannya, keluarga kemudian membawanya ke sebuah pusat tahfiz di Kedah untuk mendapatkan rawatan.
Semasa proses rawatan dia langsung tidak sedarkan diri.
Namun menurut ibunya, dia menangis seperti hilang pertimbangan dan menggenggam karpet surau yang tebal sehingga terangkat.
Ustaz yang merawatnya memberi nasihat supaya dia memadam semua gambar di media sosial, serta mengamalkan surah At-Tahrim pada waktu malam dan surah Al-Jin pada waktu pagi.
"Balik rumah (selepas berubat) lagi teruk kena kacau. Setiap kali baca surah, benda tu ikut sekali. Bila tidur rasa orang usap rambut, pegang tangan dan peluk.
"Benda tu minta saya balik kepada bekas kekasih saya. Sampai saya jadi takut nak jumpa lelaki dan tidur malam. Selama sakit tu, period tak berhenti.
"Makan ubat hospital pun tak jadi. Saya dah tak ada seri. Belakang naik gatal dan berat badan turun dari 60kg (kilogram) sampai jadi 40kg," ceritanya lagi.
Menurut wanita tersebut, gangguan dipercayai berpunca daripada sebuah patung yang disorokkan di dalam bantal peluk yang diberikan sewaktu meminang.
Sepanjang tempoh sakit, wanita itu mandi air daun bidara setiap hari dan tidak pernah gagal bangun bertahajud.
Beberapa bulan kemudian, ketika membaca surah At-Tahrim selepas solat Maghrib, seekor lipan besar tiba-tiba muncul dari penjuru siling rumah.
Ibunya segera membuang lipan tersebut dan selepas kejadian itu, semua gangguan dikatakan hilang serta-merta.
Kini, wanita ini bersyukur kerana sudah pulih sepenuhnya dan kembali menjalani kehidupan normal.
Bagaimanapun, bekas kekasihnya pula difahamkan masih belum berkahwin dan mengalami masalah mental.
Amalan sihir adalah haram dan berdosa besar dalam Islam kerana ia termasuk perbuatan syirik yang menyalahi akidah serta dilarang sama sekali dalam syariat.


