suria

Tak sempat tengok pertunjukkan bunga api, wanita nampak entiti hitam berbulu di balkoni... Jatuh pengsan di malam tahun baharu!

Entiti itu dikatakan berbulu dan matanya berwarna merah. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita berkongsi pengalaman seram dialaminya ketika menunggu detik tahun baharu secara bersendirian di balkoni rumah sekitar pukul 11.30 malam, sebaik pulang dari tempat kerja.

Aina (bukan nama sebenar) berkata, dia memilih untuk menyambut tahun baharu di kediamannya yang terletak di sekitar Kuala Lumpur memandangkan keletihan selepas seharian bekerja.

Menurut Aina, kawasan apartmen ketika itu sunyi dengan kebanyakan unit kediaman gelap kerana ramai penghuni keluar menyambut tahun baharu di luar.

"Ketika menunggu bunga api dari balkoni rumah, saya ternampak satu kelibat hitam melompat secara senyap dari satu bangunan ke bangunan lain dalam kesamaran malam.

“Pada mulanya saya ingat binatang atau bayang objek lain. Tetapi apabila saya fokus, saya nampak satu kelibat hitam berbulu, bersaiz besar dan mempunyai mata berwarna merah," katanya.

Lebih mengejutkan, pergerakan entiti tersebut dilihat semakin menghampiri bangunan yang didiaminya.

Aina mengakui panik dan secara tidak sengaja 'menegur' kelibat tersebut selepas melihat ia berhenti di hujung bangunan berhadapan balkoni rumahnya.

"Setiap kali ia melompat, memang langsung tak ada bunyi. Saya terus rasa meremang kerana bentuknya bukan seperti haiwan biasa.

"Semakin lama, saya perasan ia semakin hampir ke bangunan rumah saya. Dalam keadaan gelabah, saya terlepas cakap dengan bertanya... siapa tu?," ujarnya.

Gangguan daripada entiti biasanya berlaku apabila tinggal bersendirian. -Gambar hiasan AI

Namun, sejurus selepas ditegur, kelibat berkenaan dikatakan terus hilang daripada pandangan.

Aina mendakwa kejadian lebih menyeramkan berlaku apabila dia berpaling untuk masuk ke dalam rumah.

"Saya cuba tenangkan diri dan fikir mungkin saya tersalah nampak. Saya pun tak jadi tunggu bunga api dan terus nak masuk ke dalam rumah.

"Tiba-tiba saya rasa ada hembusan angin panas di belakang tengkuk. Apabila toleh, saya nampak satu entiti besar berbulu betul-betul di depan muka saya.

"Wajahnya seperti seekor beruk yang bengis dan menyergah dengan suara garau. Saya takut dan terkejut sampai pengsan,” katanya.

Aina hanya sedar pada keesokan pagi dalam keadaan terbaring di balkoni selain mengalami demam panas disebabkan kejadian tersebut.

Sejak peristiwa berlaku tiga tahun lalu itu, Aina mengakui dia tidak lagi menunggu bunga api dari balkoni dan lebih selesa berada di dalam rumah setiap kali tiba sambutan tahun baharu.

Katanya, pengalaman tersebut cukup untuk membuatkan dia lebih berhati-hati dan tidak lagi memandang ringan perkara yang sukar dijelaskan dengan logik akal.

Artikel Lain