TINDAKAN seorang wanita warga China menceroboh kawasan keselamatan di Pintu Pelepasan Antarabangsa C, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berakhir dengan penahanannya pada Sabtu.Kejadian itu turut mencuri perhatian ramai selepas rakaman [Tonton Video] suspek dilihat bertindak agresif serta dilihat bergelut ketika ditahan pihak berkuasa di kawasan pelepasan antarabangsa berkenaan tular di media sosial. Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi Munusamy berkata, insiden berlaku kira-kira pukul 1.35 tengah hari apabila wanita terbabit didapati melepasi pintu autogate pemeriksaan keselamatan tanpa memiliki sebarang tiket penerbangan.Menurutnya, suspek yang merupakan warga China itu kemudian cuba diperiksa oleh petugas keselamatan di pintu pelepasan antarabangsa C, namun bertindak agresif sebelum diusung keluar oleh pihak berkuasa."Bertindak atas maklumat diterima, suspek ditahan polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) KLIA jam 1.45 tengah hari pada hari sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Hasil siasatan mendapati suspek memasuki Malaysia pada 30 April lalu bagi tujuan bercuti bersama rakannya.Bagaimanapun, wanita itu dipercayai tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli tiket penerbangan pulang ke negara asalnya.Ravi berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Sepang pada Ahad dan dibenarkan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.Katanya, jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.