PEMUDA yang terjatuh ke dalam longkang sedalam 12 meter menyangkal laporan cuba menyelamatkan seekor kucing dalam kejadian di Taman Melaka Perdana di Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat lalu.Mangsa dikenali sebagai Naim, 32, berkata, dia terjatuh ketika sedang mengambil barang sebelum struktur konkrit penutup longkang tersebut pecah dan runtuh. "Ya yang jatuh itu tapi bukan untuk selamatkan kucing. Masa lalu nak ambil barang, konkrit pecah dan aku terus terjatuh."Dalam itu bukan empat meter tapi 12 meter. Kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), kau ada longkang sedalam ini dekat belakang rumah tapi tak pernah selenggara?" kongsinya di Threads.Dalam pada itu, Naim berkata, kejadian itu menyebabkan dia terperangkap kira-kira tiga jam sebelum berjaya diselamatkan kerana keadaan struktur longkang yang menyukarkan proses membawanya keluar.Dia juga mendakwa keadaan di dalam longkang tersebut kotor dengan kehadiran kulit ular dan serangga, namun bersyukur tidak berdepan haiwan berbisa."Aku tersekat hampir tiga jam sebab badan aku tinggi dan longkang itu terlalu dalam untuk aku keluar sendiri."Bomba dan doktor pun pelik macam mana aku boleh terselamat selepas jatuh sedalam ini. Masa dekat dalam itu memang aku fikir itu hari terakhir aku sebab tiada siapa dengar aku," katanya.Naim memberitahu akibat kejadian itu, dia mengalami beberapa kecederaan serius termasuk pada bahagian lutut dan punggung."Lutut aku terbelah selain kecederaan lain. Sekarang aku di hospital. Nak buang air besar pun tak boleh sebab kaki tak boleh pijak."Jururawat suruh guna lampin, aku tak sanggup. Baru sedar ada lebih kurang lapan jahitan di punggung. Patutlah sakit sangat," ujarnya.Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki yang mahu menyelamatkan seekor kucing terjatuh ke dalam longkang di belakang rumahnya di Taman Melaka Perdana, Ayer Keroh.Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa dipercayai terpijak penutup longkang konkrit sebelum terjatuh ke dalam longkang tersebut.