suria

Pelakon Puteri Gunung Ledang The Musical dipilih secara telus, tiada pilih kasih atau ‘favoritism’

Aisha (kiri) dan Mila dipilih memegang watak Puteri Gunung Ledang.

PRODUKSI teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM) tampil memberi penjelasan susulan dakwaan segelintir pihak berhubung ketelusan dalam pemilihan barisan pelakon bagi pementasan muzikal berkenaan. 

Menerusi satu kenyataan di Threads, pihak produksi menegaskan bahawa proses pemilihan dilakukan tanpa sebarang unsur pilih kasih.

"Kami tegaskan bahawa tiada pilih kasih atau favoritism dalam proses itu. Semua peserta dinilai secara adil oleh juri profesional berdasarkan pelbagai aspek," tulisnya. 

Kenyataan produksi yang dimuat naik di Threads.

Kenyataan tersebut dipercayai sebagai respons terhadap segelintir pihak yang mempersoalkan sama ada pemilihan pelakon telah dirancang lebih awal.

Menurut pihak produksi, setiap keputusan dibuat dengan penuh pertimbangan memandangkan watak-watak dalam pementasan itu membawa tanggungjawab besar serta harapan tinggi daripada peminat teater tempatan.

"Watak-watak PGL juga membawa harapan dan ekspetasi yang sangat besar, jadi setiap keputusan dibuat dengan penuh teliti dan tanggungjawab. 

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Tiara Jacquelina, Mila Mohsin pelakon kedua Puteri Gunung Ledang

ARTIKEL BERKAITAN: Aisha Retno dipilih sebagai Puteri Gunung Ledang

"Kami amat menghargai usaha setiap individu yang hadir ke sesi uji bakat," ujarnya.

Sebelum ini, seorang pengguna Threads mempersoalkan tujuan uji bakat terbuka diadakan jika pemilihan pelakon didakwa sudah ditentukan lebih awal.

"Maksudnya memang dah plan ke macam mana? Uji bakat terbuka itu sekadar formality sajalah?," tulisnya. 

PGLTM dijangka dipentaskan pada Oktober depan.

Terdahulu, akaun rasmi PGLTM mengumumkan pelakon Aisha Retno dan Mila Mohsin yang merupakan anak kepada penerbit PGL, Puan Seri Tiara Jacquelina memegang watak sebagai Puteri Gunung Ledang. 

Antara pelakon lain yang turut terlibat ialah Aqasha sebagai Hang Tuah, Luqman Hafidz (Sultan Melaka), Yusof Hashim (Gusti Adipati), Mimi Fly dan Nadia Aqilah sebagai Bayan. 

Teater PGLTM dijangka mula dipentaskan pada Oktober depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain