suria

“Penumpang kalau cirit jangan malu minta bantuan kru kabin” - Pramugari kongsi pengalaman jijik, sinki penuh air najis bersama seluar dalam

Keadaan mangkuk tandas pesawat yang tersumbat dan sinki bertakung bersama seluar dalam dipenuhi najis yang ditinggalkan penumpang dalam penerbangan domestik baru-baru ini. -foto Fiza Kamaruzzaman

JIJIK! Itulah apa yang anda rasa setiap kali melihat mangkuk tandas di tandas awam dipenuhi najis kerana tidak dipam. Sakit hati bukan?

Bagaimana pula sekiranya sinki tandas pesawat tersumbat, dengan air bertakung dipenuhi najis semasa penerbangan pada ketinggian beribu-ribu kaki, pastinya sukar untuk membayangkan situasi ini.

“Apabila dah terberak dalam seluar dan cubaan mencuci spender dalam sinki sampai sinki tersumbat dengan najis, kasihan cleaner yang nak mencuci ni. Bolehkah anda bayangkan baunya?” luah seorang pramugari di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh wanita mandikan anjing di bilik salin lampin R&R, ditegur pun buat tak peduli!

ARTIKEL BERKAITAN: 7 tahun menyewa atas ihsan pemilik, kumpulan pelajar perempuan tak pernah cuci langsir, tuala wanita lekat di tingkap, “Ingat ni muzium seni ke?”

Bercakap kepada mStar, pramugari berusia 41 tahun itu memberitahu, kejadian berlaku dalam penerbangan domestik menuju ke Kuala Lumpur pada petang Selasa.

Luahan seorang pramugari mengenai sikap tidak bertanggungjawab penumpang.

Hanya mahu dikenali sebagai Fiza Kamaruzzaman, dia yang merupakan pramugari di sebuah syarikat penerbangan tempatan berkata, tandas pesawat kotor dan kejadian penumpang cirit dianggap biasa dalam mana-mana penerbangan.

“Penumpang cirit itu biasa, malah pernah sampai dinding terpercik dan lantai comot. Tapi bagi saya, ini pertama kali sinki tersumbat sebab penuh dengan najis.

“Seluar dalam milik penumpang tu masih ada najis dan dibiarkan kat sinki. Sinki tandas pesawat tak sama macam kat rumah sebab ada penyumbat sinki, celah mana nak masuk najis tu dalam lubang sinki tu,” katanya kepada mStar.

Fiza yang berpengalaman sebagai kru kabin selama 19 tahun berkata, dia dan rakan setugasnya hanya menyedari sinki tandas tersumbat dengan seluar dalam bernajis ditinggalkan selepas pesawat mendarat di Kuala Lumpur.

“Dia adalah penumpang yang terakhir guna tandas, dan masa tu pesawat dah nak mendarat. Kami berkali-kali minta penumpang tu kembali ke tempat duduk dan memakai tali pinggang keledar sebagai prosedur keselamatan. 

“Masa tu juruterbang dah bagi isyarat supaya kru kabin kembali ke tempat duduk, maknanya kami beri dia masa untuk dia buang air. 

“Dia ada buka pintu tandas sikit dan minta plastik kat salah seorang kru kabin. Kami ingatkan dia nak gunakan plastik tu untuk simpan seluar dalam dia ke, tapi tak… dibiarkan saja dalam sinki,” katanya dengan nada kesal.

Mangkuk tandas pesawat tersumbat dipenuhi tisu.

Menurut Fiza, bukan menjadi kesalahan jika ada penumpang cirit kerana ia di luar kawalan sehingga membuatkan mereka tidak dapat menahan untuk membuang air di tandas.

“Kami masih lagi boleh terima kalau ada lampin yang ada najis dibiarkan tinggal dalam tandas pesawat. Kalau dia kanak-kanak atau warga emas, kami masih boleh faham. Tapi dia adalah penumpang dewasa berusia lingkungan 40an. 

“Bayangkan, air najis tersembur sebab gegaran semasa pesawat mendarat di landasan mengakibatkan air yang bertakung di sinki yang ada seluar dalam melimpah keluar,” katanya.

Air najis bersepah merata-rata sebab gegaran semasa pesawat mendarat di landasan mengakibatkan air bertakung di sinki yang ada seluar dalam melimpah keluar.

FIZA

Apa yang lebih menyedihkannya apabila membayangkan pekerja pembersihan perlu mencuci tandas itu dalam waktu singkat kerana ia adalah penerbangan domestik.

“Memang mereka kerja sebagai tukang cuci, tapi tolonglah jangan menyukarkan mereka. Dan bukan semua penerbangan domestik akan disediakan cleaner ya.

“Mereka ada masa untuk cuci sesingkat tujuh minit, itu saja masa yang diberikan untuk mereka supaya kapal boleh berlepas ke destinasi seterusnya,” katanya.

Fiza berkata, kesedaran mengenai kebersihan amat perlu kerana kemudahan asas seperti tandas adalah terhad di awan biru, maka ia perlu sentiasa dijaga dengan baik bagi membolehkan semua pihak menggunakannya dengan selesa.

Keadaan mangkuk tandas dipenuhi najis yang pernah ditemui Fiza semasa bertugas sebagai pramugari sebelum ini.

Sebagai contoh katanya, dalam pesawat jenis Boeing 737, kelas ekonomi hanya mempunyai dua tandas untuk digunakan oleh penumpang.

“Jika satu tersumbat disebabkan kebodohan, tinggal satu saja tandas boleh digunakan. Anda nak tunggu lama-lama beratur panjang guna satu tandas?

“Lepas tu anda rasa rengsa kan? Kami kru lagi rengsa, tandas tu belakang kerusi kami je,” katanya.

Sehubungan itu, Fiza menasihatkan agar semua pihak terutama penumpang menjadikan kebersihan itu sebagai tanggungjawab masing-masing.

“Ini adalah perkara asas untuk semua orang dan cara nak menyelesaikan masalah tu yang penting. Dan penumpang kalau berlaku keadaan tidak terkawal seperti cirit, jangan malu meminta bantuan daripada kru kabin.

“Kami bantu untuk menangani masalah yang dihadapi mereka sebaik mungkin. Jangan ada sikap pentingkan diri sendiri. Banyak jalan penyelesaian kami boleh cadangkan termasuk memberi plastik, malah juga sarung tangan. Ingatlah, menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p
tandas, najis, pesawat, pramugari


Artikel Berkaitan

Artikel Lain