suria

Wanita dihina, ‘disekolahkan’ selepas lelaki Singapura bengang tak dapat layanan dimahukan... siap tunjuk akaun bank!

Seorang wanita Malaysia berkongsi pengalamannya berkenalan dengan seorang lelaki menjengkelkan dari Singapura. -sumber WOB

SEORANG wanita baru-baru ini berkongsi pengalaman 'ngeri'nya ketika menyertai Facebook Dating dan bertemu seorang lelaki Singapura yang menjengkelkan.

Wanita itu kini sedang bekerja di Singapura dan bertemu lelaki itu di Facebook Dating pada pagi Sabtu lalu.

"Saya buka profil di Facebook Dating pada Jumaat dan dapat mesej daripada lelaki ini pada Sabtu pagi.

"Kami bertukar nombor telefon tapi saya hanya mula berbual dengannya pada petang Ahad dan selepas itu keadaan menjadi sangat pelik dan teruk," katanya yang berkongsi kisah dengan World of Buzz.

Pada mulanya, segalanya baik-baik sahaja dan mereka bertukar nombor telefon kerana masing-masing jarang melayari Facebook dan mahu meneruskan komunikasi di WhatsApp.

Paparan skrin awal perbualan mereka. -WOB

Lelaki itu kelihatan peramah dan bertanya banyak soalan tentang dirinya. Tetapi lama-kelamaan dia nampak seperti menjengkelkan, menyebabkan wanita itu tidak selesa untuk berkongsi lebih banyak perihal dirinya apatah lagi mereka baru saja berkenalan.

Justeru, dia mula mengabaikan lelaki itu selama beberapa jam sambil menikmati masa luangnya, tetapi lelaki Singapura itu seolah-olah bengang.

Wanita itu memberitahunya bahawa dia tidak mahu terburu-buru dalam menjalinkan hubungan, tetapi lelaki itu seolah-olah tidak faham maksudnya.

Lelaki itu menganggap jawapan balas kawan baharunya itu sebagai 'tidak konsisten dan lembab', tetapi wanita itu mengabaikannya dan menganggap segalanya akan terhenti di situ apabila dia mengakhiri perbualan dengan ucapan 'selamat maju jaya'.

Bagaimanapun, berlaku situasi sebaliknya apabila lelaki itu tidak dapat menerima hakikat dirinya 'ditolak' dan mula bertindak aneh.

Mula-mula, dia cuba mengajar wanita itu bagaimana untuk menjadi seorang teman wanita yang baik, sebelum mempersoal keupayaannya untuk menjalinkan hubungan hanya kerana wanita itu telah mengabaikannya selama kurang dari empat jam.

Lelaki ini cuba mengajar wanita yang baru dikenalinya cara menjadi seorang kekasih yang baik. -WOB

Dia masih menjawab dengan sopan, tetapi lelaki Singapura itu naik angin dan menghinanya dengan memanggilnya 'loser'.

"Mentaliti tipikal rakyat Malaysia. Kamu tak ada apa-apa pun dan tak ada siapa nak merayu kamu. Jadi, jangan fikir kamu tu hebat sangat dan tak ada pun lelaki Singapura akan buang masa untuk kamu.

"Mengenai permit pekerjaan, tiada CPF jadi tak boleh nak beli rumah walaupun kamu sudah berkahwin. Jadi, saya rasa lelaki murahan Malaysia lebih sesuai dengan kamu," katanya.

Kali kedua wanita itu mahu mengakhiri perbualan mereka secara sopan mendapat balasan 'kasar' -WOB

Tidak terhenti dengan kata-kata hinaan itu, dia kemudian memberitahu wanita itu apa yang dia sudah 'terlepas' dengan menggambarkan dirinya seorang lelaki idaman.

Lelaki itu menunjukkan bahawa dia mempunyai banyak wang dengan menghantar gambar akaun banknya yang mempunyai wang sebanyak S$350,000 (RM1.07 juta), wang tunai di rumah dan jam tangan Ulysse Nardin yang dibeli pada harga S$47,000 (RM144,403).

Lelaki dari Singapura ini menganggap wanita yang dikenalinya terlepas peluang berharga apabila tidak melayannya dengan baik. -WOB

Dia juga menghina rakyat Malaysia dengan gelaran 'loser'.

"Anda terus mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia 'loser'. Tak hairanlah kerajaan juga rasuah dan malah 'meliwat' rakyat. Tak boleh berfikir dengan baik," katanya.

Hinaan terhadap rakyat Malaysia yang digelarnya 'loser'. -WOB

Lelaki itu mendakwa bahawa dia mempunyai perniagaan perdagangan aksesori kereta dan menjadi pemilik bersama syarikat pajakan kereta.

Dia juga memberitahu telah menceburi bidang logistik baru-baru ini dan 'single' sejak Oktober 2016.

Wanita itu telah membuat laporan kepada Facebook tetapi ragu-ragu tentang apa tindakan yang boleh diambil.

Katanya, dia hanya mahu berkongsi pengalaman untuk memberi amaran kepada orang lain supaya berhati-hati apabila meneroka pilihan temu janji dalam talian. -WOB

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
hina, lelaki Singapura, Malaysia

Artikel Lain