suria

Pukul 5 pagi pemandu bas suka hati ‘letak’ penumpang tepi jalan, menapak 2km ke terminal, “Saya beli tiket bas ekspres, bukan bas loceng!”

Arif turut memuat naik gambar tiket bas ekspres dari Kuala Terengganu ke Segamat dalam posting di FB.
"BERPELUH-PELUH badan terpaksa jalan kaki ke terminal. Sepanjang berjalan, mulut saya memang merungut sebab terlalu geram," demikian cerita seorang penumpang bas ekspres mengenai pengalamannya diturunkan di bahu jalan.

Penumpang itu yang hanya mahu dikenali sebagai Arif berkata, dia bersama isteri dan seorang adiknya menaiki sebuah bas ekspres dari Kuala Terengganu menuju Segamat, Johor pada pukul 10.15 malam Ahad, baru-baru ini.


"Kira-kira pukul 5.00 pagi, bas yang kami naiki tiba-tiba berhenti di bahu jalan, dan meminta penumpang yang mahu ke Segamat untuk turun.

"Saya kurang puas hati dan menyoal pemandu bas tersebut. Namun alasan yang diberikan ialah dia hanya ikut pemandu yang terdahulu. Siapa yang tak geram. Jadi masa itu situasi agak tegang. Saya tanya, kalau penumpang wanita mengandung macam mana? Warga emas? Penumpang lain hanya diam dan tergamam. Mungkin juga mamai sebab awal pagi.

"Bagaimanapun, pemandu bas itu hanya memohon maaf kepada saya. Enggan memburukkan keadaan, saya, isteri dan adik pun turun. Bersama kami, ada tiga lagi penumpang yang turut turun di situ. Bas itu kemudian meneruskan perjalanan ke Johor Bahru," ceritanya kepada mStar

Cuba bayangkan risiko yang mungkin dihadapi. Penjenayah boleh saja ambil peluang untuk merompak kami. Pada waktu pagi seawal pukul 5 pagi, mana ada kenderaan yang lalu sangat.

ARIF

Terdahulu, Arif memuat naik satu posting di laman Facebooknya bagi meluahkan rasa kesal dan tidak puas hati dengan perkhidmatan bas berkenaan.

Posting itu tular di laman sosial, di mana rata-rata netizen turut mengecam tindakan pemandu bas tersebut.

Malah ada juga yang berkongsi pengalaman yang sama ketika menggunakan perkhidmatan bas ekspres dari syarikat yang sama. 

Antara komen netizen yang turut meluahkan rasa geram dengan insiden yang menimpa Arif.


Selepas diturunkan di bahu jalan, Arif berkata dia meminta isteri dan adiknya menunggu di lokasi berkenaan sementara dia berjalan ke terminal bas Segamat untuk mengambil kereta yang diparkir di situ. 

"Lebih kurang 2km juga nak berjalan, jadi biar saya seorang saja yang berjalan. Berpeluh tu tak payah cakaplah. Sepanjang berjalan, mulut saya memang merungut sebab terlalu geram.

"Cuba bayangkan risiko yang mungkin dihadapi. Penjenayah boleh saja ambil peluang untuk merompak kami. Pada waktu pagi seawal pukul 5 pagi, mana ada kenderaan yang lalu sangat. 

"Lebih tak puas hati, saya beli tiket bas ekspres, bukan bas loceng nak turun tepi jalan suka-suka hati. Tak logik betul," luah pemuda berusia 31 tahun itu.

Gambar yang dimuat naik Arif menunjukkan beberapa penumpang yang diminta turun di bahu jalan.


Arif berkata, dia akan membuat aduan kepada pihak yang berkaitan dalam masa terdekat agar kejadian yang sama tidak berulang ke atas penumpang yang lain.

"Saya tak serik naik bas lagi, sebab memang biasa naik bas dari kampung halaman, Kuala Terengganu ke Segamat, tempat saya bekerja. Cuma, bagi saya perkara ini tak wajar selesai dengan permohonan maaf saja. 

"Saya harap selepas aduan ini dibuat, tindakan tegas perlu diambil agar tiada lagi kejadian seumpamanya berlaku," akhiri Arif. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
penumpang, bas, berang

Artikel Lain