Kecoh OKU bisu bersama dua anak kena tinggal bas di stesen minyak, “Dia menjerit-jerit... menangis” - Viral | mStar

Kecoh OKU bisu bersama dua anak kena tinggal bas di stesen minyak, “Dia menjerit-jerit... menangis”

Perjalanan seorang wanita OKU dan dua anak lelakinya ke Butterworth terbantut selepas mereka ditinggalkan bas ekspres yang dinaiki. -foto FB

PERJALANAN tergendala gara-gara ditinggalkan bas ekspres yang berhenti sebentar di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau di stesen minyak sepanjang lebuh raya adalah satu situasi yang amat ditakuti penumpang.

Situasi seperti ini biasanya lebih kerap berlaku pada musim perayaan, apabila tandas awam sesak, menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang dan lebih lama dari biasa untuk menggunakannya.

Kecoh baru-baru ini apabila seorang wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) bisu ditinggalkan bas yang dinaikinya, dalam kejadian di stesen minyak Petronas di Hentian Simpang Pulai, Ipoh (arah utara), malam Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mama lupa terus jalan, abang pula tak kira adik beradik” - Ibu kalut tularkan insiden anak dara tertinggal di R&R dan kesannya antara nak gelak atau kasihan

ARTIKEL BERKAITAN: Akibat tweet salah fakta, insiden tertinggal anak disangka drama culik budak

Berdasarkan satu posting yang dikongsi di laman Facebook, wanita tersebut sedang dalam perjalanan dari Kuantan ke Butterworth.

"Makcik ini tidak boleh bercakap dan hanya menggunakan bahasa isyarat. Dia menangis dan menjerit apabila keluar dari toilet, bas telah meninggalkannya yang ingin pergi ke Butterworth dari Kuantan.

"Di manakah tanggungjawab pihak yang berkenaan? Apabila ditelefon nombor yang tertera pada tiket tidak dijawab. Minta tolong sangat-sangat prihatinlah sikit kepada warga OKU macam ni," menurut posting tersebut yang turut disertakan dengan tiga keping gambar.

Wanita OKU yang panik ditinggalkan bas terpaksa ditenangkan oleh orang awam dan kakitangan stesen minyak. -foto FB Atok Jai Runner

Seorang kakitangan stesen Petronas berkenaan ketika dihubungi mStar mengesahkan kejadian tersebut yang berlaku sekitar jam 9 malam ketika bas ekspres berkenaan berhenti di stesen minyak itu.

"Keadaan kecoh sebab wanita itu menjerit-jerit sambil menangis, jadi orang ramai yang ada di lokasi kejadian pergi mendekatinya untuk tanya apa yang berlaku.

"Agak sukar nak berkomunikasi dengannya sebab dia tak boleh bercakap, tetapi dengan tiket yang ditunjukkan dan bahasa isyarat yang digunakan, boleh fahamlah yang bas dah tinggalkan dia," katanya yang enggan mendedahkan identitinya.

Menurut staf tersebut, turut bersama wanita itu adalah dua anak lelakinya dianggarkan berusia empat ke lima tahun.

Ingat dulu saya pun pernah lalui juga kena tinggal bas ni, mujurla sempat kejar, itu pun dah macam apa dah lari tepuk-tepuk bas.

NETIZEN

Jelasnya, sementara orang ramai cuba membantu, wanita tersebut turut ditenangkan dan diberikan minuman oleh kakitangan Petronas yang sedang bertugas.

"Akhirnya selepas berkali-kali mencuba seorang pelanggan kami dapat menghubungi syarikat bas ekspres tersebut dan mereka bersetuju untuk mengambil mereka bertiga dengan bas lain yang lalu di laluan sama.

"Lebih kurang satu jam jugalah suasana kecoh, tetapi staf di sini dan orang ramai berjaya menenangkan makcik tu sehinggalah dia dan anak-anaknya selamat menaiki bas yang datang mengambilnya," katanya.

Tiket bas wanita itu yang menjadi 'penyelamat' keadaan. -foto FB Atok Jai Runner

Sementara itu, di ruangan komen ramai netizen meluahkan rasa simpati terhadap nasib wanita ini dan ada juga yang mendakwa pernah melalui pengalaman sama.

Rata-rata mereka tertanya-tanya bagaimana perkara ini boleh berlaku dan adakah pemandu tidak membuat pemeriksaan penumpang sebelum meneruskan perjalanan.

"Ya Allah kesiannya, driver yang tak bertanggungjawab ni, tak check dulu sebelum gerak.

"Ingat dulu saya pun pernah lalui juga kena tinggal bas ni, mujurla sempat kejar, itu pun dah macam apa dah lari tepuk-tepuk bas," tulis @Emma Alifakifasif.

@Mohd Safwan menulis: "Tulah harap pihak berkuasa ambil tindakan, kesian akak tu dahlah jauh pula tu ada anak lagi harap pihak berkuasa tolong pandang perkara ni supaya di masa akan datang tak ada lagi kes macam ni."

"Saya pernah kena juga dengan bas ni, masa tu saya mengandung, masa bas berhenti di hentian menuju Butterworth," tulis @Ina Inadin.

mStar cuba mendapatkan komen daripada syarikat bas tersebut tetapi gagal dihubungi.

bas ekspres , lebuh raya , tertinggal , OKU

Artikel Lain