suria

Dulu hanya mampu belanja ibu kuih 3 seringgit, kini dapat hadiahkan gelang emas... dua beranak sebak di pagi raya

Iylia menghadiahkan seutas gelang emas khas buat ibunya pada raya pertama.

PENGORBANAN seorang ibu memang tiada tandingannya dan tidak mungkin dapat dibalas dengan wang ringgit, namun membahagiakan wanita yang melahirkan zuriat itu tentu sekali menjadi tanggungjawab setiap anak.

Setiap tahun ketika Aidilfitri tiba, pasti duit raya yang dihulur anak-anak buat ibu bapa tercinta, namun Nur Iylia Malek atau mesra dipanggil Iylia melakukan kelainan dengan menghadiahkan seutas gelang emas 18 karat sebagai pengganti 'duit raya' buat ibunya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya satu mesej 'makan dalam' kiriman ibu, si anak terus lupakan tudung idaman, “Saya nangis sorang-sorang dalam bilik”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini hantar mesej menikam jiwa kepada 'my 1st love' yang telah tiada, tanya “macam mana Jijul nak raya tahun ni”

"Saya memang dah rancang dari bulan lepas nak buat kejutan untuk ibu, mahu berikan dia gelang emas pada hari raya pertama.

Iylia pernah berkongsi untung kecil yang diperoleh ketika awal menceburi bidang perniagaan
 bersama ibunya, Norhayati Khushimohud

"Ibu pernah pesan kalau nak belikan gelang emas untuk dia, kena bawa dia sekali tetapi saya sengaja beli secara senyap-senyap nak beri kejutan, nasib baik ibu minat gelang itu dan betul-betul muat tangan dia.

"Bagi saya, berapalah sangat pemberian gelang emas itu kalau nak dibandingkan dengan pengorbanan dan kasih sayang ibu untuk kami empat beradik," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Bukan sekadar gelang emas sahaja, Iylia juga pernah membawa ibu dan bapanya menunaikan umrah bersama pada November lalu sebagai tanda menghargai jasa mereka.

Gadis berusia 27 tahun ini turut berkongsi kisah dirinya ketika mula berjinak-jinak dalam perniagaan dropship pada usianya 22 tahun, yang mana dia sanggup berkongsi untung kecil sekadar RM2 hingga RM5 dengan membelikan kuih-muih untuk ibunya.

"Zaman saya belajar dahulu, untung dropship tak terlalu banyak dan ketika itu saya hanya mampu belikan ibu kuih tiga seringgit sebab tak mampu beli mahal-mahal.

Iylia (tudung coklat) bersama ayahnya (tengah), adik lelaki dan ibunya (tudung kelabu) ketika menunaikan umrah pada November tahun lepas.

"Lama-kelamaan keuntungan perniagaan dropship yang saya cuba dahulu makin meningkat dan syukur, berkat berkongsi rezeki dengan ibu bapa, saya dapat mulakan perniagaan pakaian jenama sendiri sejak 2015.

"Saya tak nafikan, bila kita sentiasa dahulukan ibu bapa dalam segala hal InsyaAllah semuanya dipermudahkan," katanya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik.

Berkat usaha dan doa ibu bapanya, Iylia telah menghasilkan pakaian jenama sendiri di mana perniagaannya beroperasi di Changlun, Kedah.

Dalam pada itu, video berdurasi 37 saat yang dimuat naik itu mendapat kira-kira 167,000 tontonan dan diulang kicau sebanyak 8,175 serta 15,278 tanda suka.

Bagi saya berapa lah sangat pemberian gelang emas itu kalau nak dibandingkan dengan pengorbanan dan kasih sayang ibu untuk kami empat beradik.

NUR IYLIA MALEK

Video yang tular itu menunjukkan dua beranak itu masing-masingnya kelihatan emosi dan sebak.

Situasi tersebut ternyata mendapat pelbagai reaksi daripada netizen di laman Twitter.

"Saya terkejut video itu jadi viral sebab ia hanyalah sekadar berkongsi sahaja.

"Bukan tujuan untuk menunjuk tetapi kita sebenarnya boleh berkongsi rezeki dengan ibu bapa.. Kalau tidak mampu berkongsi rezeki yang besar, cukuplah sekadar apa yang kita mampu.

"InsyaAllah daripada situ, rezeki yang diterima akan lebih berkat dan makin bertambah," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Gelang emas, Hari Raya, Syawal

Artikel Lain