MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memuji tindakan pelawak Jep Sepahtu yang menunjukkan tanggungjawab dalam menunaikan kewajipan membayar zakat sehingga mencecah kira-kira RM1.935 juta bagi tempoh 10 tahun.Zulkifli menyifatkan tindakan Jep berkongsi rekod pembayaran zakat berkenaan sebagai langkah berani dalam mempertahankan integriti, selain membuktikan komitmennya melaksanakan tuntutan agama. "Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan buat Jep yang benar-benar menjadi wira serta inspirasi kepada asnaf di Wilayah Persekutuan. Kita ambil daripada sudut positif dan doakan yang baik-baik untuk semua. Zulkifli memuji tanggungjawab yang dilaksanakan oleh Jep dalam membayar zakat."Langkah beliau (Jep) berkongsi rekod pembayaran zakat dari tahun 2016 hingga 2025 yang mencecah kira-kira RM1.935 juta merupakan satu tindakan berani demi menegakkan ketelusan, mempertahankan integriti, dan menangkis fitnah, sekali gus membuktikan pelaksanaannya secara telus berlandaskan kewajipan agama."Pengorbanan dan ketelusan figura awam seperti beliau wajar dijadikan ibrah dan ikhtibar terbaik buat seluruh masyarakat," katanya. Zulkifli berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau sembang semua orang boleh” - Jep Sepahtu tunjuk resit bayar zakat cecah RM300,000ARTIKEL BERKAITAN: Tolak tayangan ‘Madu Atau Racun’, Menteri Agama kesal drama sentuh sensitiviti dan norma budayaDalam pada itu, Zulkifli berkata pengorbanan serta ketelusan yang ditunjukkan figura awam seperti Jep sewajarnya dijadikan iktibar oleh masyarakat dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.Zulkifli turut mengingatkan orang ramai bahawa zakat bukan sekadar menyucikan harta, malah berperanan membantu golongan memerlukan menerusi sokongan ekonomi yang disalurkan kepada mereka."Zakat bukan sahaja menyucikan harta, malah menjadi benteng ekonomi serta penyambung hayat buat golongan yang memerlukan. "Ayuh kita contohi teladan mulia ini dan tunaikan kewajipan harta," ujarnya. Jep secara tidak langsung memberi bantuan kepada golongan memerlukan.Pada 8 Oktober lalu, Jep berkongsi resit pembayaran zakat perniagaannya yang dilunaskan setiap tahun bagi tempoh 2016 hingga 2025.Jep menjelaskan, perkongsian tersebut bukan bertujuan untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk, sebaliknya sebagai bukti bahawa dia tidak pernah mengambil hak orang lain.Menerusi perkongsian itu, pelawak berkenaan dilihat membuat pembayaran zakat dengan jumlah antara RM50,000 hingga RM300,000 bagi setiap tahun dalam tempoh berkenaan.