MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menyuarakan pendirian tegas terhadap penayangan drama Madu Atau Racun yang didakwa mengandungi elemen hubungan sesama jantina.Menurut Zulkifli, pihaknya menolak penayangan drama berkenaan susulan kontroversi dan keresahan yang timbul dalam kalangan masyarakat. Menerusi satu kenyataan rasmi kepada media, Zulkifli berkata pihaknya memandang serius penerapan elemen yang menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan sama ada secara tersurat atau tersirat."Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama Madu Atau Racun yang telah menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat. Madu atau Racun disiarkan menerusi platform iQIYI."Kami amat kesal atas tindakan menyerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat. "Penerapan unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran ini perlu dibendung agar pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara," katanya. Dalam pada itu, Zulkifli berkata ajaran Islam sentiasa menitikberatkan pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan serta tata susila dalam kehidupan beragama.Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan drama tersebut serta mengambil tindakan susulan.ARTIKEL BERKAITAN: “Tolong jangan libatkan ibu mentua saya”… Elisya Sandha tegas, tak mahu keluarga diheret isu boikot ‘Madu Atau Racun’ARTIKEL BERKAITAN: Bawa watak suami curang, Aliff Aziz harap penonton dapat bezakan lakonan dan realiti"JPM (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni tersebut."Jakim akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyemak kandungan dan mengambil tindakan susulan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015) serta peruntukan undang-undang sedia ada demi memastikan sebarang kandungan media disiarkan secara sahih dan memelihara kesucian agama," jelasnya. Sehubungan itu, Zulkifli turut menyeru semua pihak yang terlibat dalam industri seni dan penyiaran agar lebih peka serta bertanggungjawab terhadap kandungan yang dihasilkan.Elisya dan Aliff (kiri) teraju utama dalam Madu Atau Racun."JPM (Hal Ehwal Agama) menyeru semua penggiat seni, penerbit, dan stesen penyiaran agar sentiasa peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi yang ditetapkan sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya yang mendidik jiwa dan membina sahsiah bangsa. "Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejas keharmonian norma masyarakat," ujarnya. Drama Madu Atau Racun lakonan Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha baru-baru ini mencetuskan kontroversi susulan beberapa adegan yang didakwa tidak sesuai dengan budaya dan pegangan agama masyarakat sehingga ada yang meminta ia ditarik balik.Madu Atau Racun disiarkan menerusi platform iQIYI pada setiap Jumaat dan Sabtu, pukul 9 malam.Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube