TULAR satu rakaman video di media sosial memaparkan sebuah kawasan lereng hutan yang sudah ditarah bagi tujuan pembangunan jalan di lebuh raya dari Kuala Lumpur menuju ke Genting Sempah, Pahang.Video berkenaan dimuat naik oleh seorang pengguna Threads, irsyad_syaz sewaktu melalui laluan tersebut.Apa yang menarik perhatian ramai, rakaman itu memaparkan sebatang pokok besar yang masih utuh berdiri tegak di tengah-tengah kawasan berkenaan.Pohon itu langsung tidak disentuh biarpun semua pokok lain di sekelilingnya sudah habis ditebang."Siapa yang lalu dari KL nak ke Genting Sempah mesti akan nampak pokok ni. "Aku tertanya-tanya kenapa sebatang pokok ni sahaja yang mereka tak tebang?" soalnya.Lantaran persoalan itu, ruangan komen mula dibanjiri pelbagai spekulasi daripada warga netizen.Malah, ada yang mendakwa pokok tersebut mempunyai unsur mistik hingga menyebabkan ia tidak boleh ditebang sesuka hati.Walau bagaimanapun, andaian mistik itu disangkal oleh seorang pengguna Threads lain yang tampil menjelaskan faktor sebenar di sebalik tindakan mengekalkan pohon tersebut, yang dikenali sebagai Pokok Ara.Menurut penjelasan tersebut, pokok dengan nama saintifiknya Ficus spp itu sebenarnya tergolong dalam kategori Pokok Perlindungan Fauna.Berdasarkan garis panduan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), spesies pokok perlindungan fauna adalah pokok buah hutan yang dilarang sama sekali daripada ditebang semasa sebarang aktiviti pembersihan tanah atau pembalakan.Sebagai contoh, di Perak, selain Pokok Ara, terdapat kira-kira 37 pokok lain yang diwartakan di bawah kategori berkenaan antaranya Asam gelugor, Balau Putih, Basong, Bekak, Berangan, Keruing mengkai dan Kundang hutan.Kenapa Pokok Ara begitu penting untuk ekosistem hutan negara?Pokok Ara memainkan peranan yang sangat strategik dan kritikal dalam ekosistem hutan hujan tropika Malaysia. Sebagai spesies utama atau keystone species, pokok ini berbuah sepanjang tahun tanpa mengikut musim, berbeza dengan kebanyakan pokok hutan yang lain.Untuk rekod, keystone species ialah organisma yang mempunyai peranan sangat besar dan kritikal dalam mengekalkan struktur serta keseimbangan sesuatu ekosistem.Walaupun bilangannya kecil atau populasinya sedikit, ketiadaan mereka boleh menyebabkan keseluruhan ekosistem berubah secara drastik atau musnah sama sekali.Ciri keunikan ini menjadikan Pokok Ara sebagai sumber makanan bagi pelbagai spesies fauna seperti burung, monyet, orang utan, dan keluang sewaktu musim krisis apabila pokok lain tidak mengeluarkan buah.Selain menjadi sumber makanan, pelbagai haiwan dan burung yang memakan buah ara turut membantu proses penyebaran biji benih ke seluruh kawasan hutan, sekali gus menyokong pemulihan hutan secara semula jadi.Pada masa yang sama, sistem akar Pokok Ara yang sangat luas dan kuat berfungsi sebagai pemegang struktur tanah di kawasan lereng serta tebing sungai bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh dan hakisan.