DI zaman serba canggih kini, kod QR begitu dekat dengan kehidupan seharian sehingga penggunaannya sudah dianggap satu keperluan bagi masyarakat.Daripada kaedah bayaran, melihat menu restoran, membeli tiket hinggalah mengakses laman web, hanya dengan mengimbas kod QR, pelbagai maklumat boleh diperoleh dalam masa beberapa saat. Namun, tahukah anda teknologi yang kini digunakan secara meluas itu sebenarnya mempunyai sejarah yang cukup menarik?Kod QR asalnya bukan dicipta untuk tujuan sedemikian, sebaliknya ia dibangunkan bagi menyelesaikan masalah dalam industri automotif Jepun.Pada 1994, seorang jurutera Jepun, Masahiro Hara bersama pasukannya di DENSO membangunkan teknologi berkenaan ketika industri automotif memerlukan kaedah yang lebih pantas dan cekap untuk mengurus komponen.Pembayaran secara kod QR semakin meluas digunakan di seluruh dunia.Ketika itu, kod bar tradisional hanya mampu menyimpan maklumat dalam jumlah terhad.Keadaan tersebut menyebabkan pekerja kilang kadangkala perlu mengimbas beberapa kod bar untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai sesuatu produk.Pasukan Hara kemudiannya mencari penyelesaian dengan menghasilkan kod yang mampu menyimpan lebih banyak maklumat dan boleh diimbas dengan pantas dari pelbagai arah.Hasilnya, Kod QR berjaya dicipta dengan segala info dan maklumat mampu dimiliki dengan sekali imbasan sahaja.QR merupakan singkatan kepada Quick Response atau 'Tindak Balas Pantas', merujuk kepada keupayaannya untuk dibaca dengan cepat.Walaupun DENSO memegang hak cipta terhadap teknologi berkenaan, syarikat itu memilih untuk tidak membuat tuntutan terhadap Kod QR.Keputusan tersebut membolehkan teknologi berkenaan digunakan secara meluas dan berkembang jauh melangkaui industri automotif di Jepun.Daripada penggunaannya di kilang, kod QR kini mula digunakan dalam pelbagai sektor dan tersebar ke seluruh dunia dan boleh ditemui pada menu restoran, tiket, bungkusan produk, skrin pembayaran poster dan pelbagai lagi kegunaan harian lain.