Kebanyakan haiwan termasuk haiwan liar seperti singa tidak terdedah kepada diet pemakanan tinggi kandungan gula diproses yang menjadi punca kerosakan gigi. -Gambar hiasan/Agensi
PERNAHKAH kita terfikir bagaimana cara haiwan menjaga dan mengekalkan kesihatan gigi mereka?Ini kerana jika dilihat secara kasar, haiwan langsung tidak mengamalkan rutin penjagaan kebersihan mulut yang lazim seperti manusia namun susunan dan struktur gigi mereka tetap kuat serta terjaga. Keadaan ini berbeza sama sekali dengan manusia yang perlu menggosok gigi setiap hari atau berdepan pelbagai masalah seperti kaviti, karang gigi atau gigi berlubang.Sebenarnya, ada penjelasan mengenai mekanisme biologi selain diet pemakanan tersendiri membantu menjaga kebersihan gigi kebanyakan haiwan termasuk binatang liar seperti harimau, singa dan buaya.1. Diet bebas gula diprosesMusuh utama gigi manusia sebenarnya bukanlah ketiadaan berus gigi, tetapi corak pemakanan kita sendiri. Manusia moden mengambil terlalu banyak mengambil gula diproses, karbohidrat ringkas, dan minuman berasid yang menjadi faktor utama pembiakan bakteria di dalam mulut yang menghasilkan asid pereput enamel atau lapisan luar gigi. Sebaliknya, haiwan liar mengamalkan diet sepenuhnya semula jadi dengan memakan daging mentah atau mengunyah daunan semula jadi. Ketiadaan gula buatan dalam menu harian mereka secara automatik menutup terus ruang untuk bakteria perosak gigi membiak dan merosakkan struktur gigi.2. Menu harian jadi pembersih gigi semula jadi Bagi haiwan liar, proses mereka mengunyah makanan sebenarnya merupakan sesi pembersihan gigi yang sangat efektif. Haiwan karnivor seperti singa mengekalkan kebersihan mulut apabila mereka menyiat daging liat dan mengunyah sisa tulang kecil yang mampu berfungsi mengikis plak secara fizikal. Bagi haiwan herbivor seperti lembu dan kuda pula, tabiat mengunyah tumbuhan tinggi serat dalam tempoh berjam-jam menghasilkan kuantiti air liur yang banyak untuk membilas sisa makanan secara automatik.3. Air liur dengan kandungan tinggi alkaliAir liur haiwan bukan sekadar cecair biasa untuk membasahi makanan.Air liur sesetengah haiwan liar mempunyai tahap alkali sangat tinggi serta mengandungi enzim antiseptik khas sangat agresif.Komposisi kimia semula jadi ini berfungsi sebagai pelindung utama menghalang pertumbuhan bakteria penyebab reput gigi dengan jauh lebih berkesan berbanding air liur manusia.4. Penggantian gigi berterusanManusia hanya dibekalkan dengan dua fasa gigi seumur hidup iaitu gigi susu dan gigi kekal yang tidak akan tumbuh semula jika sudah tercabut atau rosak. Berbeza dengan haiwan seperti buaya dan jerung, mereka memiliki sistem biologi polyphyodont yang membolehkan gigi baharu sentiasa tumbuh di barisan belakang untuk menggantikan gigi rosak ketika memburu. Malah, penggantian gigi jerung boleh melibatkan sekitar 35,000 gigi sepanjang hayat mereka.5. Faktor jangka hayat singkatSatu lagi faktor biologi menyumbang adalah perbezaan jangka hayat antara manusia moden dan hidupan liar. Haiwan di hutan berdepan dengan ancaman pemangsa serta persekitaran ekstrem menyebabkan purata umur mereka jauh lebih pendek berbanding manusia. Gigi mereka secara kasarnya hanya perlu bertahan untuk tempoh beberapa tahun atau sedekad sahaja, menyebabkan penyakit pereputan gigi kronik tidak sempat merebak teruk sebelum mereka mati akibat faktor usia.Bagaimana dengan haiwan peliharaan?Meskipun kebanyakan haiwan terselamat daripada masalah ini, situasi berbeza bagi kucing atau anjing peliharaan di rumah. Disebabkan mereka diberi makanan komersial seperti makanan basah atau kibble yang mudah melekat, haiwan sebegini sebenarnya sangat terdedah kepada masalah karang gigi dan gusi bengkak.Disebabkan itu, haiwan peliharaan sebenarnya memerlukan amalan penjagaan kebersihan gigi tertentu mengikut keperluan.