suria

Dugaan berat siswi tahun akhir, bapa disahkan kanser, beban belanja buat gadis ini resah... “Ayah perlu minum susu 6 kali sehari”

Sarah (kiri) bersama ayah dan ibu (kanan) serta adik beradiknya.

“SAYA terkilan kerana tak dapat bantu ayah sepenuhnya, “ demikian luahan hati seorang pelajar sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Menurut Fathin Maisarah Ahmad Fairus, dia kini berdepan dugaan berat dalam hidupnya.

Jelas Fathin atau lebih mesra disapa Sarah, keluarganya diuji apabila ayah tersayang baru didiagnosis menghidapi kanser saluran pemakanan (Lower Esophageal Cancer).

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan pembedahan kelenjar pertama negatif kanser, tapi pelajar ini akan dibedah lagi... "Keadaan ini mengganggu persiapan SPM”

Berkongsi cerita dengan mStar, siswi berusia 22 tahun itu memberitahu, kali terakhir ayahnya Ahmad Fairus Ibrahim, 45, menjamah makanan normal pada pertengahan Ramadan pada Mei lalu.

“Ketika kami sedang makan sahur, tiba-tiba ayah tercekik makanan dan sesak nafas. Beberapa minit kemudian bila dah okay, ayah cuba makan, tapi langsung tak boleh telan.

Perkongsian Sarah di laman Twitter mendapat lebih 10,000 ulang kicau.

“Keesokan harinnya ayah ke hospital di Alor Setar,  ketika itu doktor masih belum tahu punca sebenar ayah tak boleh makan.

“Sejak itu ayah hanya boleh makan makanan lembut seperti bubur atau hidangan berkuah sahaja,” jelas penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka di UiTM Sri Iskandar ini.

Sarah memberitahu, sepanjang  dua bulan terakhir ini bapanya terpaksa berehat dan kerja-kerja di bengkel kereta diserahkan kepada stafnya.

Malahan, katanya, ayahnya juga semakin kerap berulang alik ke hospital.

“Sebenarnya saya tidak pernah terlintas ayah menghidap kanser ini, sehingga bulan lalu apabila doktor panggil kami adik beradik dan beritahu ada berita buruk.

“Selepas beberapa ujian dilakukan, ayah disahkan kanser salur pemakanan peringkat awal,” kongsinya.

Kami masing-masing kuatkan semangat berdepan dengan situasi ini walaupun saya agak sedih kerana tak dapat bantu dari segi kewangan kerana masih belajar.

FATHIN MAISARAH AHMAD FAIRUS


Sarah akui dia dan adik beradik lain terkejut dan sedih terutama ibu, Manisah Zakaria sebaik dimaklumkan doktor mengenainya.

“Sebagai anak sulung daripada enam orang adik beradik sayalah yang terpaksa menerangkan kepada mereka mengenai keadaan ayah.

“Kami tak mahu tunjuk kesedihan ini depan ayah atau ibu sebab tak mahu mereka susah hati.

“Kami masing-masing kuatkan semangat berdepan dengan situasi ini walaupun saya agak sedih kerana tak dapat bantu dari segi kewangan kerana masih belajar.

“Saya cuba kuatkan semangat untuk menamatkan pengajian semester akhir ini dengan baik,” luah Sarah.

Menurut Sarah dia terpanggil untuk berkongsi kisahnya ini di laman Twitter.

Sarah bersyukur kerana ramai warga Twitter turut membantu dan memberi semangat kepadanya.

“Alhamdullilah ramai yang bagi komen, pandangan dan ada yang mesej untuk beri bantuan susu yang ayah perlu minum 6 kali sehari.

“Harga susu tu agak mahal namun dengan kekangan kewangan keluarga ia agak merisaukan saya, tapi syukur kerana selepas tweet,  ramai yang prihatin,” katanya.

Perkongsian Sarah itu mendapat lebih 10,000 ulang kicau. Tambah Sara, setiap hari  dia akan menghubungi ayahnya untuk bertanya khabar.

“Sebelum ini cuti semester saya dapat juga bantu keluarga tetapi kini tinggal berjauhan dan hati sentiasa bimbang.

“Pada 19 September ini ayah akan jalani pembedahan sebelum meneruskan rawatan kimoterapi,” katanya yang terharu dengan keprihatinan ramai pihak.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Kanser, Saluran Pemakanan, ayah

Artikel Lain