suria

Letak limit RM0, boleh guna di mesin ATM sahaja... Lelaki kongsi cara selamat urus akaun bank - “Saya matikan terus kad debit duit gaji”

Kehilangan wang dalam akaun bank boleh berlaku disebabkan kesilapan sendiri. -Gambar hiasan AI

DALAM era kewangan digital hari ini, pemilik akaun bank terdedah kepada risiko penipuan dalam talian serta transaksi tidak sah yang kadangkala berlaku tanpa disedari.

Lebih membimbangkan, ada pengguna yang hanya menyedari kehilangan wang mereka selepas menerima notifikasi transaksi mencurigakan daripada pihak bank.

Situasi seperti ini membuatkan ramai orang mula berhati-hati dalam mengurus kad debit dan perbankan digital mereka.

Terbaharu, seorang lelaki berkongsi beberapa langkah yang dilakukannya untuk mengawal keselamatan kad debit daripada risiko transaksi tidak diingini.

“Saya untick fungsi kegunaan di luar negara untuk kad-kad debit utama yang digunakan.

"Untuk melakukannya, tengok di setting dalam aplikasi bank atau laman sesawang bank. Lain bank, lain caranya.

Kehilangan wang dalam akaun bank boleh menyebabkan mangsa mengalami tekanan. -Gambar hiasan AI

"Jadi kalau ada apa-apa potongan daripada platform bukan Malaysia, bank tak boleh pusing cerita dan tuduh saya sendiri yang buat kesilapan," ujarnya.

Dalam hantaran di Threads itu, lelaki berkenaan berkata dia turut mengambil langkah tambahan bagi melindungi kad debit membabitkan bank yang menerima gaji.

"Kad debit bank utama yang digunakan untuk terima gaji, saya matikan terus.

"Saya letak maksimum RM0. Kad tu hanya boleh digunakan di Mesin Juruwang Automatik (ATM) saja," ujarnya lagi.

Perkongsian itu menarik perhatian netizen yang turut membincangkan cara masing-masing dalam mengawal keselamatan wang simpanan di dalam bank.

"Tak digalakkan guna kad debit untuk pautkan dengan mana-mana platform online, sebab ia memberi akses terus kepada akaun bank kita. Lebih selamat guna kad kredit.

"Mungkin awak boleh pakai kad yang kena top up duit untuk apa-apa transaksi dalam talian. Biarkan je duit kosong. Apabila nak buat transaksi, baru top up duit.

"Ini sebab utama kena guna kad kredit. Kalau ada apa-apa transaksi macam ni, biar bank yang gelabah. Kalau kad debit ni, kita la yang gelabah," tulis netizen lagi.

Artikel Lain