suria

Angkara fitnah Spirit of the Coin, 7 tahun gadis ini pendam rasa, kesudahannya masuk wad psikiatri... “Nampak bayang hitam gelakkan saya”

Jaja membuat perkongsian mengenai dirinya menerusi Twitter. (Gambar Hiasan)

TUJUH tahun memendam rasa, seorang gadis akhirnya dimasukkan ke wad psikiatrik setelah didiagnosis mengalami kemurungan dan kesedihan berpanjangan pada Ogos lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Jaja, dia mengakui fitnah rakan sekolah menjadi titik permulaan kepada episod gelap dalam hidupnya.

Disangka sudah berakhir selepas menamatkan pengajian sekolah menengah, derita itu berpanjangan apabila dia sekali lagi berhadapan kumpulan pemfitah berkenaan di sebuah institusi pengajian tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru depresi sering menangis sebelum tidur, rasa hidup kosong akhirnya diselamatkan murid sendiri, “Ada syurga di kelasku”

ARTIKEL BERKAITAN: 
Jejaka dedah pernah 'check in' Hospital Bahagia selepas kusut dengan 'awek', tiga kali putus cinta

"Waktu tu saya tingkatan tiga. Saya difitnah oleh pelajar senior, kononnya saya fitnah seorang lagi individu yang main Spirit of the Coin.

"Saya dipanggil masuk bilik dan disoal. Mereka suruh saya mengaku, tunjal kepala, sepak dan pukul badan. Masa tu di asrama. Bila saya lapor, warden tak percaya. Mereka selalu provok saya.

"Bila habis sekolah tingkatan lima, saya pun dah lupakan perkara tu. Tak sangka mereka pun sambung belajar tempat sama.

"Sampai satu masa, saya perasan rakan-rakan mula menjauhkan diri daripada saya. Rupa-rupanya mereka burukkan saya lagi," ujar gadis berusia 20 tahun itu.

Ia ternyata menyebabkan trauma dalam diri Jaja seolah-olah terimbau peristiwa silam sekali lagi.

Selain bisikan negatif, saya alami halusinasi, nampak bayang hitam gelakkan saya, nampak bayangan diri sendiri cakap hal negatif pasal saya.

JAJA


Hampir setiap malam, dia didatangi mimpi yang mengimbas semula peristiwa yang berlaku sewaktu zaman sekolah.

Ia ditambah dengan tekanan masalah kewangan kerana tidak mendapat pinjaman penuh untuk melanjutkan pelajaran.

"Waktu tu hujung bulan Jun lalu, saya memang stres pasal kolej. Terbeban dengan duit sebab tak nak susahkan keluarga.

"Saya mula dapat bisikan yang berkata, kau ni hidup susahkan mak ayah, apa kata kau mati je.

Posting gadis itu di Twitter.

"Selain bisikan negatif, saya alami halusinasi, nampak bayang hitam gelakkan saya, nampak bayangan diri sendiri cakap hal negatif pasal saya.

"Masa tu memang dah terfikir nak cederakan diri. Ambil masa juga untuk yakinkan diri sebelum rujuk pakar," katanya.

Setelah dipujuk rakan baiknya, Jaja mendapatkan rawatan pada Julai lalu sebelum ditahan di wad psikiatri selama lima hari pada Ogos.

Dia kini bergantung pada ubat-ubatan dan perlu menjalani pemeriksaan berkala dua minggu sekali.

Malah, keluarga Jaja juga memberi sokongan penuh untuk dia terus berjuang melawan depresi.

Jaja membuat perkongsian mengenai kisahnya sebagai respon kepada soalan ustaz popular Ad-Dien yang meminta pengikutnya berkongsi kisah patah hati mereka.

Kata Jaja, dia mahu perkongsian itu menjadi inspirasi kepada individu lain yang mengalami masalah sama agar berani mendapatkan bantuan profesional untuk melawan masalah itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Jaja, Spirit of the Coin, fitnah, depresi

Artikel Lain