suria

Guru depresi sering menangis sebelum tidur, rasa hidup kosong akhirnya diselamatkan murid sendiri, “Ada syurga di kelasku”

Safwan menyuntik unsur teater dalam menyampaikan ilmu kepada muridnya.

"ADA syurga di kelasku," demikian kata seorang guru yang keluar dari kepompong depresi dengan bantuan murid-murid kesayangannya.

Kisah guru berusia 27 tahun itu menjadi tular setelah dia membuat perkongsian mengenainya menerusi Twitter.

Bercerita kepada mStar, Mohamad Safwan Zulqarnain Jebat mengakui mula dihantui kemurungan setelah kehilangan bapanya akibat kanser tisu, pada tahun 2013.

ARTIKEL BERKAITAN: Jejaka dedah pernah 'check in' Hospital Bahagia selepas kusut dengan 'awek', tiga kali putus cinta

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau aku mati dia orang buat party kot” - Faiz Roslan kelar tangan akibat depresi?

"Saya depresi selepas arwah ayah meninggal. Masa tu saya umur 21, tengah praktikal di Kuala Lumpur.

"Saya terkilan dan rasa bersalah sebab tak sempat balik jumpa ayah. Saya juga tak berjaya tunaikan impian ayah untuk tengok saya belajar di luar negara.

Posting Safwan yang tular di Twitter.

"Bila rasa bersalah tu dipendam, ia jadi teruk. Saya alami Obsessive–compulsive personality disorder (OCPD), nak semua benda sempurna. Kalau tak tercapai, saya akan tertekan.

"Selepas itu bila berjauhan dengan keluarga, wujud rasa kosong. Saya juga rasa down bila tak dapat markah cemerlang. Saya fikir bila tak tercapai, maknanya ayah tak bahagia," ujarnya sewaktu dihubungi.

Dulu selalu menangis sebelum tidur, bangun je rasa kosong, tak nak buat apa-apa. Tapi bila mengajar, ada murid-murid, saya ada sebab untuk bangun setiap hari.

SAFWAN

Mesra disapa Safwan, dia mengakui banyak perkara yang menjadi punca kepada masalah depresi yang dialaminya.

Malah, keadaan itu berlarutan sewaktu dia menyambung pengajian di peringkat ijazah yang mana dia seolah-olah sukar menerima kenyataan apabila gagal tersenarai dalam Anugerah Presiden kerana tidak mencapai pointer yang sepatutnya.

"Masa degree, banyak tekanan. Saya memang nak perfect dan cemerlang. Bila tak dapat Anugerah Presiden tu, memang rasa kecewa. Rasa macam tak boleh terima, sebab saya mahukan kesempurnaan.

"Tapi pada waktu itu juga, kawan saya bantu sehingga saya pergi rujuk pakar psikiatri," imbas pemuda kelahiran Larkin, Johor itu.

Safwan menggunakan teknik pengajaran kreatif terhadap murid-muridnya.

Bercerita lanjut mengenai kerjayanya, dia pernah bekerja dalam Kumpulan Guru Simpanan Kerajaan (KGSK) di empat buah sekolah secara kontrak.

Kontrak terakhirnya baru sahaja berakhir pada minggu lalu dan dia kini tidak bekerja buat sementara waktu.

"Dulu selalu menangis sebelum tidur, bangun je rasa kosong, tak nak buat apa-apa. Tapi bila mengajar, ada murid-murid, saya ada sebab untuk bangun setiap hari.

"Tengok senyuman mereka, keterujaan untuk belajar serta improvement mereka, saya rasa gembira. Mereka juga hargai saya. Saya juga banyak fokus pada murid dan persiapan untuk mengajar," ujarnya yang turut didiagnos menghidap Dependent personality disorder (DPD) yang menyebabkan dia sering berasa dirinya kosong dan keseorangan.

Dalam pada itu, teknik kreatif Safwan yang menyuntik unsur teater dalam kelas turut menarik perhatian ramai.

Safwan mengakui kehadiran murid-murid banyak membantu dirinya melawan depresi.

Malah, usaha Safwan memakai pelbagai kostum untuk disesuaikan dengan topik pengajaran turut membuatkan dia terlupa akan depresi yang melanda diri.

Ujarnya lagi, dia bersyukur kerana kehadiran murid-murid banyak membawa perubahan yang lebih baik dalam dirinya.

Malah, dia juga sempat berkongsi tip bagaimana untuk mengawal masalah deprsei.

"Saya berpegang pada formula SSDP. SS merupakan support system (sistem sokongan). Maknanya, cari orang yang percaya dan boleh terima kita.

"D merujuk kepada distraction. Macam saya, kesibukan dengan murid membuatkan saya tak ingat masalah depresi. Yang terakhir ialah P iaitu pakar, kena rujuk pada pakar untuk tangani depresi," ujar guru subjek bahasa Inggeris, Sejarah dan Bahasa Melayu itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Mohamad Safwan, depresi, guru, murid

Artikel Lain