Jejaka dedah pernah 'check in' Hospital Bahagia selepas kusut dengan 'awek', tiga kali putus cinta - Viral | mStar

Jejaka dedah pernah 'check in' Hospital Bahagia selepas kusut dengan 'awek', tiga kali putus cinta

DEPRESI akibat hubungan cinta yang tidak kesampaian? Mungkin ada individu yang memandang rendah akan perkara ini, namun hakikatnya ia benar-benar boleh berlaku.

Begitulah yang dikongsikan oleh seorang jejaka menerusi laman Twitter sehingga ia tular dan mendapat perhatian ramai.

Kisah perjalanan Irfan Muhaimin Ismail sebagai pesakit mental disebabkan masalah cinta menerima lebih 7,000 ulang kicau (retweet).

Menurut jejaka berusia 22 tahun itu, dia yang sedang bergelut dengan peperiksaan akhir pada Ogos tahun lalu dikusutkan dengan kemelut perhubungan antara dirinya dengan seorang gadis.

Paparan skrin perkongsian irfan di Twitter.

Bertitik tolak dari peristiwa itu, siapa sangka ia menyebabkan depresi sehingga dia disahkan menghidap bipolar tahap 2.

"Saya memang sudah menghidu bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan hubungan kami.

"Awal-awal sebelum diagnos, keluarga pun fikir ia perkara biasa. Kata mereka, bunga bukan sekuntum.

"Tapi bila dah jumpa doktor, saya juga ditahan di zon kuning sebab tekanan darah terlalu tinggi, mereka pun mula memahami dan memberi sokongan penuh kepada saya," ujar Irfan sewaktu dihubungi mStar Online, Khamis.

Menurut jejaka kelahiran Kota Bharu, Kelantan, ini dia juga pernah ditahan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, selama enam hari pada tahun lalu.

Mengimbas kembali sat-saat dia 'dihantui' depresi, Irfan berkata dia pernah membuat percubaan untuk membunuh diri sebanyak 12 kali.

Irfan pernah dirawat di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan selama enam hari.

"Antara yang paling teruk, saya kelar pergelangan tangan. Tak terkira berapa kali saya cuba cederakan diri sendiri.

"Sebenarnya sudah tiga kali saya putus cinta, so pengalaman itu terus terbawa-bawa dalam diri saya sebelum akhirnya jadi macam ni.

"Setiap orang berbeza-beza. Walaupun ada masalah, tahap ketahanan setiap individu untuk menghadapi masalah itu tidak sama.

"Kena lihat juga secara psikologi, environment dia dibesarkan turut menjadi faktor," katanya lagi.

Bersyukur dengan keadaan dirinya pada hari ini, Irfan yang semakin pulih bagaimanapun masih lagi berjumpa dengan doktor, dua minggu sekali.

Mengulas mengenai tweet yang dikongsinya di laman Twitter, Irfan berkata dia mahu memberi sumbangan kepada masyarakat khususnya individu yang berdepan masalah sama dengannya.

"Saya rasa gembira bila dapat kongsi dan memberi kesedaran kepada orang ramai.

"Ada ramai juga yang DM (direct message) saya untuk tanya mengenai hal ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, Irfan berkata dia juga banyak membaca buku sebagai salah satu kaedah untuk kembali pulih.

"Saya nak pecahkan rekod, tahun lepas saya baca 100 buku. Tahun ni saya sasar 150 buku," jelasnya.

 

Irfan Muhaimin Ismail , depresi , cinta

Artikel Lain