suria

Pasangan Malaysia Ditahan Di Sweden Akan Didakwa Pada 10 Februari

Shalwati (kiri) dan Azizul.
Shalwati (kiri) dan Azizul.

PETALING JAYA: Pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden atas dakwaan memukul anak mereka dijangka akan didakwa di mahkamah pada Isnin depan, kata salah seorang daripada peguam mereka.

Kristofer Stahre yang merupakan peguam kepada Shalwati Nurshal berkata, beliau menjangkakan pasangan itu akan dibicarakan di bawah Kanun Jenayah Sweden kerana "pencabulan integriti kanak-kanak secara kasar".

Stahre menerusi kiriman emelnya berkata bahawa anak guamnya menafikan kecurigaan berhubung dakwaan itu tetapi menambah bahawa "jika mahkamah mendapati ia bersalah yang melampaui keraguan yang munasabah, hukumannya ialah penjara minimum enam bulan dan maksimum enam tahun."

Beliau berkata, tarikh yang diberikan mahkamah belum ditetapkan lagi tetapi menambah bahawa pendakwaan mungkin akan dilakukan pada 10 Februari pukul 11 pagi (6 petang waktu Malaysia).

"Perbicaraan penuh mungkin akan bermula pada 18 Februari pukul 9 pagi (4 petang waktu Malaysia) dan akan berlangsung selama kira-kira tujuh hari," katanya lagi.

Shalwati dan suaminya Azizul Raheem Awalluddin seorang pegawai Tourism Malaysia di Sweden ditahan sejak 18 Disember lalu tetapi pihak berkuasa Sweden membenarkan empat anak kepada pasangan itu pulang ke Malaysia.

Mengenai jenis kesalahan yang disyaki, Stahre berkata, ia melibatkan grov fridskränkning (pencabulan integriti kanak-kanak secara kasar), yang merupakan suatu kesalahan di bawah perkara 4 Brottsbalken (Kanun Jenayah Sweden).

Stahre berkata, jenayah yang disyaki terdiri daripada beberapa bentuk penderaan kecil, yang didakwa berlaku semasa keluarga itu berada di Sweden selama tiga setengah tahun.

Jika disabit bersalah, beliau berkata, terdapat juga kemungkinan pesalah boleh melakukan khidmat masyarakat dan bukannya dipenjarakan.

Beliau berkata, pesalah hanya perlu menjalani dua pertiga daripada hukuman penjara sekiranya mereka menunjukkan kelakuan yang baik.

"Jika Shalwati didapati bersalah tempoh dia direman akan juga diambil kira sebagai sebahagian daripada proses hukuman.

Stahre turut berkata bahawa Shalwati meluahkan rasa lega apabila kesemua anaknya telah pulang ke Malaysia dan dijaga oleh ahli keluarga dengan bantuan Wisma Putra.

"Shalwati mendapat kekuatan dengan sokongan moral saudara mara, rakan-rakan dan rakyat Malaysia yang menyatakan sokongan buatnya di Facebook," kata peguam itu.

"Tetapi ia masih merupakan satu situasi yang sukar buatnya dan saya melakukan yang terbaik untuk terus memberikan semangat untuknya," kata Stahre.

Tambah beliau lagi, Duta Besar Malaysia di Sweden bersama-sama dengan kakitangannya di Stockholm juga telah membantu dalam apa cara sebaik mungkin.

Sementara itu, peguam Azizul, Jonas Tamm, tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain