suria

Dituduh hidup senang sebab anak datuk, Dazrin Kamaruddin tak pernah tumpang harta bapa

Dazrin tegaskan dirinya berusaha sendiri majukan perniagaan.

GARA-GARA berkongsi dirinya sudah hidup stabil ketika ini, pelakon Dazrin Kamaruddin teruk dikecam netizen memandangkan status dirinya yang berasal daripada keluarga berada.

Tampil menjelaskan perkara itu, Dazrin, 37, berkata ramai tersilap tafsir mengenai perkongsian berkenaan sedangkan dia bercerita mengenai kejatuhan hidup yang pernah dialaminya.

“Sebenarnya saya bukan berkongsi kejayaan. Saya berkongsi tentang kejatuhan. Allah adalah sebaik-baik pengatur dan kita tidak seharusnya mempersoalkan perjalanan hidup yang Dia tentukan.

Dazrin perjelaskan salah faham tentang perkongsiannya.

“Ada masa kita berada di atas dan ada masa kita berada di bawah. Tidak ada istilah seseorang itu akan sentiasa berada di atas,” katanya kepada mStar.

Mengulas mengenai komen yang mempertikaikan latar belakang keluarganya, Dazrin menegaskan kejayaan ibu bapa tidak pernah dijadikan sandaran dalam hidupnya, malah dia memilih untuk membina perjalanan sendiri tanpa bergantung kepada status sebagai anak datuk.

Tambahnya, dia tidak pernah meluahkan kesusahan yang dialami kepada kedua ibu bapa kerana berpegang pada prinsip anak lelaki perlu kuat dan berdikari.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah hidup susah sehingga habis duit simpanan, Dazrin Kamarudin kini berdamai dengan takdir… Bila senang ramai mengaku saudara

ARTIKEL BERKAITAN: 2 tahun tak berlakon, ramai sudah lupakan Dazrin Kamarudin... Lebih dikenali sebagai penjual karpet

“Anak datuk, anak datuk seri atau anak tun sekali pun, itu adalah kejayaan ibu bapa, bukan kejayaan saya. Cuma saya bangga dengan siapa ayah dan ibu saya, tetapi saya tidak pernah menggunakan pengaruh atau kelebihan mereka.

“Jatuh bangun saya, biarlah saya lalui sendiri. Kalau saya jatuh, saya akan bangkit dengan usaha saya sendiri,” jelasnya.

Dedah Dazrin, ketika saat kejatuhannya dia pernah terdesak sehingga terpaksa mempertimbangkan untuk menjual rumah yang dibeli hasil titik peluhnya sendiri.

Tegasnya perkongsian tersebut dibuat sebagai peringatan dan pengajaran, khususnya kepada mereka yang sedang berada dalam kesenangan agar tidak lalai dan sentiasa bersyukur.

Perniagaan karpet Dazrin semakin meluas.

“Mungkin dulu ketika berada di atas, saya kurang bersyukur. Mungkin sebab itu Allah beri ujian untuk saya sedar bahawa apa yang kita ada bukan selama-lamanya.

“Saya pernah jatuh sampai tahap rumah yang saya beli sendiri terpaksa difikirkan untuk dijual. Siap pasang papan tanda jual di depan rumah. Itu bukan rumah pemberian ibu bapa, tetapi hasil usaha saya sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Dazrin berkongsi dirinya pernah mengalami hidup susah sehingga habis duit simpanan namun kini hidupnya sudah kembali senang selepas perniagaannya semakin berkembang.

Tambahnya, disebabkan perkara itu juga ramai pihak mendekati untuk mendapatkan bantuan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain