Bar 'Le Constellation' di pusat peranginan ski Crans-Montana, barat daya Switzerland terbakar ketika sambutan Tahun Baru. -Foto X
PULUHAN orang dikhuatiri terkorban manakala kira-kira 100 lagi cedera parah selepas satu kebakaran tercetus ketika sambutan Tahun Baharu di sebuah bar di Pergunungan Alps, Switzerland, awal pagi Khamis.Menurut pihak berkuasa, kebakaran berlaku sekitar pukul 1.30 pagi di sebuah bar dikenali sebagai Le Constellation, yang terletak di pusat peranginan ski Crans-Montana. Jurucakap polis, Gaëtan Lathion, berkata lebih 100 orang berada di dalam bangunan ketika kejadian berlaku."Kami menerima laporan ramai yang cedera dan sejumlah besar kematian. Siasatan masih di peringkat awal," katanya sambil menambah bahawa Crans-Montana merupakan destinasi ski antarabangsa yang popular dan sering dikunjungi pelancong.Polis memaklumkan jumlah sebenar korban belum dapat dipastikan kerana siasatan masih berjalan.Identiti mangsa juga belum dapat dikenal pasti berikutan kecederaan serius akibat kebakaran.Sementara itu, Peguam Negara bagi wilayah Valais, Beatrice Pilloud, berkata masih terlalu awal untuk menentukan punca kejadian kerana pasukan pakar belum dapat memasuki lokasi kebakaran. Beliau turut menegaskan bahawa setakat ini tiada unsur serangan dikesan. -Agensi