SEPASANG suami isteri dilaporkan maut dipercayai dibunuh oleh sekumpulan penduduk kampung atas dakwaan mengamalkan ilmu sihir.Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Karbi Anglong, Assam di India pada malam 30 Disember. Mangsa dikenal pasti sebagai Gardi Birua, 43, dan isterinya Mira Birua, 33.Ketua Polis Daerah Karbi Anglong, Pushpraj Singh, berkata, pasangan itu diserang oleh sekumpulan penduduk kampung sebelum didakwa dibakar sehingga mati.Ujarnya, siasatan dilakukan di bawah kes pemburuan ahli sihir."Ini merupakan kes witch-hunting dan dipercayai mereka diserang serta dibakar sehingga mati," katanya ketika ditemui agensi berita ANI.Menurutnya lagi, pihak polis melancarkan operasi untuk mengesan dan menangkap individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.Tambah beliau, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 8.25 malam dan segera ke lokasi kejadian.Sejurus tiba, rumah mangsa didapati dalam keadaan rosak serta terdapat api yang sedang marak di halaman depan rumah.Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dipercayai dibunuh oleh penduduk kampung sebelum mayat mereka dibakar di halaman rumah berkenaan.Polis turut merampas beberapa barangan dari lokasi kejadian termasuk tanah bercampur sampel darah, sebatang kayu dan sebuah bekas plastik berisi cecair najis lembu yang disyaki digunakan untuk membersihkan kesan darah.Anggota polis kini ditempatkan di lokasi bagi mengawal kawasan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan. -Agensi