suria

Petani bawa wang tunai hampir RM113,000 disamun tengah jalan... Suspek lempar serbuk cili ke mata!

Seorang petani kerugian hampir RM113,000 selepas dirompak tiga lelaki. -Gambar hiasan AI

SEORANG petani mengalami kerugian hampir RM113,000 selepas dirompak tiga lelaki yang melempar serbuk cili ke matanya dalam kejadian pada Selasa.

Ketika insiden di daerah Ashoknagar, Madhya Pradesh, India itu berlaku, mangsa yang dikenali sebagai Lakhvinder, 47, sedang menunggang motosikal dan dalam perjalanan pulang ke rumah saudaranya. 

Tiba-tiba tiga lelaki yang berdiri di tepi jalan dilaporkan menghentikan mangsa sebelum salah seorang daripada mereka secara tiba-tiba melempar serbuk cili ke matanya.

Seorang lagi suspek kemudian meragut beg yang mengandungi wang tersebut sebelum melarikan diri.

Mangsa menjerit meminta pertolongan sebelum jeritannya didengari seorang penduduk kampung yang kemudian memaklumkan kejadian kepada ahli keluarganya.

Mangsa dibawa ke hospital daerah untuk mendapatkan rawatan.

Seorang pegawai polis berkata pihaknya telah memeriksa lokasi kejadian berdasarkan keterangan mangsa dan menemui campuran serbuk cili dan air  di tempat kejadian.

Ujarnya, usaha mengesan dan menangkap suspek kini giat dilakukan. -Agensi

 

Artikel Lain