SEORANG ketua pakar bedah jantung pediatrik dilucutkan jawatan dan digantung tugas, susulan kes seorang bayi perempuan berusia lima bulan meninggal dunia selepas menjalani pembedahan jantung pada 14 November lalu.
Bayi dikenali sebagai Xu Luoxi itu menjalani pembedahan membaiki kecacatan septum atrium di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Universiti Ningbo, Wilayah Zhejiang, China.
Pembedahan itu pada awalnya dijangka mengambil masa kurang tiga jam dan keluarga mangsa diberitahu bahawa prosedur tersebut mempunyai kadar kejayaan 99.5 peratus.
Namun, pembedahan berlanjutan hampir tujuh jam dan keluarga Luoxi dimaklumkan pada sebelah petang bahawa keadaan bayi itu tidak stabil.
Doktor kemudian menyatakan pembedahan berjaya dan Luoxi dipindahkan ke unit rawatan rapi.
Luoxi bagaimanapun disahkan meninggal dunia sekitar pukul 10 malam pada hari yang sama.
Keluarga mendakwa mereka tidak dimaklumkan tentang pembedahan kedua yang dilakukan semasa prosedur itu.
Laporan bedah siasat yang dikeluarkan kemudian turut mendapati Luoxi sebenarnya tidak mengalami kecacatan jantung seperti yang didiagnosis, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keperluan pembedahan tersebut.
Siasatan pihak berkuasa Ningbo mendapati berlaku kesilapan prosedur, kegagalan pengurusan risiko, kegagalan memaklumkan keluarga mengenai kecemasan, serta pemantauan pasca pembedahan yang tidak mencukupi.
Akibatnya, ketua pakar bedah, pakar bius dan doktor unit rawatan rapi pediatrik digantung tugas, manakala naib presiden hospital dipecat.
Dua individu dalam pengurusan tertinggi turut dikenakan tindakan tatatertib.
Mahkamah di Ningbo juga menerima tuntutan saman keluarga Luoxi terhadap hospital berkenaan atas dakwaan kecuaian perubatan.
Sementara itu, pakar perubatan menyatakan bahawa pembedahan jantung ke atas bayi kecil membawa risiko tinggi kerana keadaan pesakit boleh berubah dengan cepat, dan keputusan pembedahan perlu dibuat dengan menimbang risiko serta manfaat secara menyeluruh. -Agensi


