SEORANG wanita ditemukan maut selepas suaminya merempuh rumah mereka menggunakan trak pikap dan kemudian mencetuskan kebakaran di dalam kediaman. Stephen Coates, 62, didakwa membunuh isterinya, Monica Coates, 61, dalam kejadian yang berlaku pada pagi Isnin. Menurut polis, kejadian berlaku sekitar pukul 7.30 pagi di sebuah rumah di blok 4300 Dakota Drive, dekat San Diego, California apabila Stephen dipercayai merempuh trak pikapnya ke kediaman tersebut sebelum memulakan kebakaran di dalam rumah.Monica sempat menghubungi talian kecemasan untuk melaporkan kejadian dan meminta bantuan.Pegawai yang bergegas ke lokasi menemui Monica dalam keadaan tidak bernyawa di bilik mandi utama dengan kesan melecur yang teruk. Punca kematian rasmi masih belum ditentukan dan sedang menunggu keputusan perubatan.Stephen turut ditemui di bilik mandi dengan kecederaan melecur sebelum dikejarkan ke hospital. Lelaki itu ketika ini masih berada dalam keadaan koma.Pihak berkuasa masih belum dapat mengesahkan sama ada dia berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian. Laporan toksikologi dijangka mengambil masa beberapa minggu untuk disiapkan.Sementara itu, rekod mahkamah menunjukkan Monica telah memfailkan perintah sekatan terhadap suaminya pada November lalu. Dalam dokumen tersebut, mangsa menyatakan suaminya menunjukkan tingkah laku paranoid sejak beberapa minggu sebelum kejadian dan beliau bimbang akan keselamatannya sendiri. -Agensi