SEBUAH universiti di Indonesia memecat seorang pensyarahnya selepas video yang memaparkan perbuatan lelaki itu meludah ke arah seorang juruwang pasar raya, tular di media sosial.Rektor Universiti Islam Makassar (UIM), Prof Dr Muammar Bakry berkata, pensyarah berkenaan yang dikenal pasti sebagai Dr AS dipecat selepas didapati melanggar Kod Etika Pensyarah serta Peraturan Pekerja universiti itu. "Tanpa mengira apa jua punca atau keadaan sebelum kejadian, perbuatan tersebut jelas melanggar etika dan nilai moral. Sebagai institusi yang menjunjung tinggi nilai agama dan kemanusiaan, kami mengambil pendirian tegas," katanya dalam sidang media di Bangunan Rektorat UIM di Makassar, Sulawesi Selatan.Menurut beliau, Dr AS yang merupakan pensyarah perkhidmatan awam kerajaan dikembalikan kepada Lembaga Layanan Pendidikan Tinggi (LLDIKTI) Wilayah IX, sekali gus menamatkan perkhidmatannya dengan UIM.Berikutan insiden itu, pihak universiti akan memperketatkan pemantauan serta memperkukuh pembangunan sahsiah dalam kalangan warga kampus.Dr Muammar turut menegaskan bahawa tahap pendidikan yang tinggi perlu disertai dengan akhlak dan tingkah laku yang terpuji.Terdahulu, dalam insiden yang berlaku pada 24 Disember lalu, pensyarah berkenaan didakwa meludah ke arah seorang juruwang pasar raya berusia 21 tahun.Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu kemudiannya tular di media sosial.Mangsa memaklumkan kepada media Indonesia bahawa lelaki tersebut memotong barisan di hadapan dua pelanggan lain.Apabila ditegur supaya beratur dari belakang, lelaki itu dipercayai bertindak agresif, menuduhnya memberikan perkhidmatan yang buruk sebelum didakwa meludah ke arahnya. -Agensi