DEMI membolot wang insurans, seorang wanita sanggup berkomplot dengan kekasih untuk membunuh suaminya.Mangsa berusia 47 tahun bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian pada pukul 9 malam, 22 Disember lalu di rumahnya di Taman Ehsan Jaya, Seri Alam, Johor. Difahamkan, mangsa sedang tidur lena ketika kejadian berlaku.Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa cuba dibunuh dengan cara ditekap muka menggunakan bantal sehingga mengalami kesukaran bernafas.Ujarnya, situasi yang dialami itu membuatkan mangsa terjaga dan bergelut untuk menyelamatkan diri."Perbuatan kejam itu dipercayai dilakukan oleh teman lelaki kepada isteri mangsa sendiri yang masuk ke dalam rumah dengan keizinan wanita berkenaan."Isteri mangsa bertindak memegang kaki suaminya bagi menghalang mangsa melawan manakala kekasihnya menekan bantal ke muka mangsa sehingga hampir pengsan akibat sesak nafas."Mangsa bagaimanapun berjaya meronta dan melepaskan diri sebelum suspek lelaki melarikan diri dalam keadaan kelam-kabut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Menurut Mohd Sohaimi, hasil siasatan lanjut mendapati isteri mangsa kerap bertanyakan jumlah wang simpanan serta syarikat insurans yang dicarumkan mangsa kira-kira seminggu sebelum kejadian berlaku.Susulan itu, isteri mangsa bersama kekasihnya ditahan sehari selepas kejadian berlaku bagi membantu siasatan."Masing-masing berusia 45 dan 38 tahun. Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh."Kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Jumaat," tambahnya.