suria

[V] Wanita tak sangka budak lelaki lunyai dibelasah sampai terbaring rupanya sepupu sendiri... Keluarga bakal ambil tindakan

Tangkap layar (screenshot) daripada video tular memaparkan kejadian buli yang dipercayai berlaku di Taman Kelubi Damai, Jasin.

SEORANG wanita tidak menyangka video tular memaparkan seorang budak lelaki teruk dibelasah di kawasan padang permainan yang ditontonnya di media sosial merupakan sepupunya sendiri.

Menerusi perkongsian pemilik akaun Nur Azwaa di Facebook, video tersebut dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

"Gigil tengok budak ni kena pukul, kena buli sampai macam ni... rupanya keluarga aku sendiri.

"Selama ni tengok orang luar kena, apabila jadi dekat keluarga sendiri, sayu hati tengok.

"Macam tu sekali kena pukul... kena pijak sampai pengsan. Dapat info sebelum dirakam pun dah teruk kena pukul. Berapa lama adik bergelut seorang diri melawan. Sampai bila buli ni nak berterusan?" tulisnya.

Menerusi video berdurasi 2.04 minit itu [Tonton Video], kelihatan seorang budak lelaki dibelasah oleh sekurang-kurangnya dua kanak-kanak, sambil disaksikan beberapa yang lain.

Mangsa dicengkam, ditumbuk, diterajang serta dipukul dengan batang kayu oleh pelaku.

ARTIKEL BERKAITAN: “Baik mati daripada kena buli sokmo” - Budak 7 tahun trauma, menangis mengadu jadi mangsa pelajar nakal di sekolah

Di akhir video, mangsa dibiarkan terbaring berseorangan sambil menahan kesakitan.  

Difahamkan, insiden tersebut berlaku pada 13 Disember lalu di Taman Kelubi Damai, Jasin, Melaka, serta laporan polis sudah pun dibuat oleh keluarga mangsa pada 29 Disember.

Nur Azwaa turut melahirkan rasa kesal kerana tiada orang awam yang tampil meleraikan pergaduhan dan membantu sepupunya itu.

Di ruangan komen, dia turut menafikan perkara tersebut sudah diselesaikan dengan baik dengan keluarga pelaku.

Dia bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut mengenai keadaan terkini sepupunya itu.

Perkongsiannya sehingga kini meraih lebih 12,000 jumlah tontonan dengan rata-rata netizen menyarankan pihak keluarganya mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.

Artikel Lain