suria

“Baik mati daripada kena buli sokmo” - Budak 7 tahun trauma, menangis mengadu jadi mangsa pelajar nakal di sekolah

Mangsa buli kebiasaannya mengalami trauma berpanjangan. -Gambar hiasan

SEORANG ibu meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila anak lelakinya mendakwa menjadi mangsa buli rakan sekelas.

Menerusi perkongsian video di Threads, kedengaran suara kanak-kanak berusia tujuh tahun itu menangis teresak-esak sambil meluahkan kata-kata mengejutkan iaitu ingin mati kerana tidak tahan dibuli.

"Lebih baik mati daripada kena buli sokmo (selalu). Penat la kena buli. Baik mati daripada kena buli sokmo," kata kanak-kanak terbabit.

"Astaghfirullah al-Azim. Jangan jerik (menangis), esok mummy jumpa dia. Pergi sembahyang, kalau menangis tak selesai masalah," kata ibu berkenaan cuba memujuk anaknya.

Berdasarkan loghat pertuturan yang digunakan, kejadian dipercayai berlaku di Kelantan.

Sementara itu menerusi perkongsian di Instagram story miliknya, wanita itu mendakwa anaknya dibaling kasut dan dipanggil noob oleh seorang murid.

"Kalau esok lusa cerita ini jadi viral, saya memang takkan minta maaf. Dalam kamus hidup saya, tak ada istilah budak perlukan ilmu dulu baru faham. Saya memang marah betul kali ni.

"Kalau ada sesiapa yang tengok status saya dan anda dalam bidang psikologi, pasti tahu betapa terluka hati dan jiwa anak saya," katanya.

Dia turut memaklumkan ada menghubungi guru kelas serta ibu kanak-kanak yang membuli anaknya itu.

Dalam pada itu, wanita berkenaan ketika dihubungi mStar memberitahu akan memaklumkan perkembangan terkini kes berkenaan selepas bertemu pihak sekolah.

Artikel Lain