SEBUAH hantaran dibuat seorang bapa mengundang rasa hiba ramai apabila dia berkongsi foto terakhir bersama anak keduanya, Wan Adlin Nadhilah, 23, yang maut dalam kemalangan jalan raya pada Sabtu, 15 November lalu.
Berdasarkan perkongsian Wan Nasrul Hakim menerusi akaun Facebook Tekan Minyak, kejadian tragis itu berlaku sekitar seminggu sebelum Wan Adlin yang mesra dipanggil Alin menghadiri majlis konvokesyen bagi menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor pada 24 November ini.
Menurut bapa kepada empat anak itu, kali terakhir dia bertentang mata dengan Alin ialah pada Jumaat, sehari sebelum kejadian.
"Rumah aku di Mentakab, selang dua buah rumah dengan rumah mak dan ayah aku.
"Hari Jumaat, aku, isteri dan anak keempat iaitu Yusuf bergerak ke rumah kami yang satu lagi di Balok, Kuantan. Rumput lalang dah mula naik.
"Alin tak ikut sama kerana dia ada program bersama anak ketiga aku, dua orang adik aku, dan sepupu-sepupunya untuk ambil gambar pra konvo pada Sabtu 15 November," katanya.
Pada posting sama Wan Nasrul turut berkongsi swafoto terakhir bersama arwah ketika mereka dalam perjalanan pulang dari UKM selepas mengambil jubah konvokesyen pada Khamis.
Kata Wan Nasrul, dia begitu gembira kerana membenarkan Wan Adlin memandu memandangkan ia merupakan keinginannya sejak kecil.
Mengimbas lanjut tentang insiden, Wan Nasrul berkata pada petang Sabtu hidup mereka sekeluarga berubah sekelip mata apabila dia menerima panggilan mengenai kemalangan membabitkan adik dan dua anaknya sekitar pukul 5.54 petang.
Tidak lama selepas itu, panggilan kedua diterima membawa berita paling mematahkan hati apabila dikhabarkan anak keduanya itu sudah pergi buat selama-lamanya.
Selepas mengumpul kekuatan, dia bersama isteri dan anak yang berada di Kuantan segera pulang ke Mentakab untuk proses seterusnya.
Apabila tiba di Hospital Temerloh, Wan Nasrul sempat memantau keadaan anak ketiganya yang mengalami patah tulang rusuk dan luka di kepala.
Tepat pukul 12 tengah malam, jenazah Wan Adlin dibawa pulang ke rumah datuk dan neneknya di Mentakab untuk proses pengebumian.
"Pukul 4 pagi, di ruang tamu rumah mak dan ayah aku, aku cuba buka kain penutup muka Alin. Aku renung muka dia dan cium dahi dia... aku menangis macam budak kecil.
"Aku dan Yusuf (anak bongsu) tidur bersebelahan dengan Alin sehingga Subuh. Aishah (anak sulung) sempat sampai pada waktu Subuh. Alin selesai dimandikan pada lebih kurang pukul 11 pagi Ahad.
"Aku imamkan solat jenazah dia, tak pernah sangka yang aku akan jadi imam solat jenazah untuk anak aku sendiri. Aku tak pernah pun menjadi imam solat jenazah sebelum ini," jelas si bapa.
Menurut Nasrul yang juga dikenali kerana banyak berkongsi mengenai automotif di media sosial, proses pengebumian anaknya selesai sebelum waktu Zohor, pada Ahad.
Untuk rekod, kemalangan hingga meragut nyawa Wan Adlin berlaku di kilometer 126 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berdekatan simpang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.
Siasatan awal pihak polis mendapati, kemalangan dipercayai berpunca daripada sebuah kereta jenis Proton Waja dipandu lelaki berusia 38 tahun hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
Proton Waja itu kemudiannya melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta jenis Volkswagen yang dinaiki empat wanita berumur antara 22 tahun hingga 55 tahun.


