suria

Calon SPM toreh tangan, belakang badan bapa! Baran ditegur ponteng sekolah

Mencederakan individu lain menggunakan pisau adalah kesalahan jenayah. -Gambar hiasan AI

SEORANG remaja lelaki berusia 17 tahun bertindak di luar kawalan apabila menoreh belakang serta lengan kiri bapanya menggunakan pisau selepas ditegur kerana tidak ke sekolah.

Insiden itu berlaku kira-kira pukul 6.10 petang di rumah mereka di Batu 4, Jalan Gombak, Kuala Lumpur pada Selasa.

Sebelum itu berlaku pertengkaran antara dua beranak tersebut.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 6.42 petang.

Katanya, kes berkenaan berpunca daripada salah faham antara bapa dan anak, menyebabkan mangsa berusia 47 tahun mengalami kecederaan pada badan dan tangan selepas ditoreh dengan senjata tajam.

"Mangsa sudah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan suspek ditangkap selepas kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Remaja terbabit kini direman selama tiga hari bermula Selasa bagi membantu siasatan.

Artikel Lain