TULAR rakaman video memaparkan insiden ngeri sebuah kereta dihempap timbunan besi binaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Plaza Tol Gombak pada Selasa.
Berdasarkan rakaman video [Tonton Video], kenderaan jenis Suzuki Swift berwarna kelabu yang dinaiki seorang wanita itu kemik dan rosak teruk di tempat duduk penumpang sebelah kiri.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, kejadian pada pukul 1.47 tengah hari itu melibatkan seorang wanita berusia 40-an.
"Setibanya pasukan di lokasi, runtuhan binaan ECRL didapati menghempap sebuah kereta jenis Suzuki Swift.
"Mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba," katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, mangsa tidak mengalami kecederaan.
Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang terlibat dalam operasi tersebut.


