DUA lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan tidak berpakaian dan tangan terikat berhampiran anak sungai di Blue Water Estate, Seri Kembangan, bulan lalu.
Tertuduh, K. Kaarthiek, 26, dan A. Hariprasanth, 23, mengangguk selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kedua-dua tertuduh didakwa membunuh Saraswathy Chan Chee Keong, 24, di sebuah jalan berhampiran Bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan pukul 6.18 petang, 24 Oktober hingga 2.17 pagi, 25 Oktober.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat wanita tanpa seurat benang ditemukan dalam keadaan berikat... Mangsa berambut perang lepas bahu
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun.
Hukuman sebatan tidak kurang dari 12 sebatan diperuntukkan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan kes bagi laporan kimia dan forensik.
Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat seorang wanita yang tidak berpakaian dan tangannya terikat, di tepi jalan berhampiran anak sungai di Blue Water Estate, pada 29 Oktober lalu.
Mayat mangsa yang mempunyai ketinggian sekitar 144 sentimeter serta berambut perang paras bahu ditemukan seorang lelaki yang kemudian membuat laporan polis.


