suria

[V] Nampak kaki terjuntai dalam balutan plastik... Lelaki gali kubur, pikul mayat kakak ke bank nak tuntut wang simpanan si mati

Seorang lelaki dilihat memikul mayat kakaknya ke bank bagi membuktikan kematian.

RAKAMAN video seorang lelaki memikul mayat wanita yang dibalut plastik dengan keadaan kaki terjutai, meruntun hati warga maya.

Lebih memilukan apabila dia didakwa membawa mayat tersebut [Tonton Video] ke cawangan bank bagi urusan mengeluarkan wang.

Kejadian dilaporkan berlaku di Odisha, India.

Berdasarkan laporan, lelaki yang dikenali sebagai Jitu Munda itu sebelum ini pergi ke sebuah cawangan Indian Overseas Bank pada Isnin untuk mengeluarkan wang daripada akaun milik kakaknya.

Namun malangnya, hasrat dia tidak kesampaian selepas kakitangan bank memaklumkan bahawa pengeluaran oleh pihak ketiga tidak dibenarkan tanpa kebenaran sah termasuk sijil kematian.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, lelaki berkenaan bertindak drastik apabila kembali ke bank sambil membawa mayat kakaknya yang baru sahaja dikebumikan beberapa hari sebelum itu.

Rakaman tindakannya itu menjadi tular sehingga disiarkan dalam televisyen tempatan.

Susulan itu, pihak bank tampil menjelaskan situasi yang berlaku dan menyatakan perbuatan berkenaan mencetuskan suasana amat menyedihkan dan mengejutkan.

Malah katanya, insiden berkenaan berpunca daripada kurangnya kesedaran mengenai prosedur serta keengganan individu terbabit untuk mematuhi peraturan ditetapkan institusi perbankan.

"Permohonan tuntutan akan diselesaikan segera sebaik sahaja sijil kematian dikemukakan," jelas kenyataan itu.

Untuk rekod, pendaftaran kelahiran dan kematian adalah wajib di India, namun kekangan dokumentasi terutama di kawasan luar bandar menyebabkan masih ada keluarga tidak memiliki sijil rasmi. -Agensi

Artikel Lain