suria

Hargai bakat tempatan, Kelly Azman kecewa video cover lagu AJL40 dapat kecaman... "Apa salah saya?" 

Kelly dikecam gara-gara cover lagu yang dibuatnya.

PERSONALITI media sosial Kelly Azman meluahkan rasa kecewa apabila usaha untuk menyokong karya tempatan disalah tafsir oleh segelintir pihak sehingga mengundang kecaman hebat netizen.

Kekecohan itu bermula selepas Kelly memuat naik video kompilasi tiga buah lagu cover yang dibuatnya berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) iaitu Lemah nyanyian Dayang Nurfaizah, Kamu (Aina Abdul) dan Nurcinta (Amir Masdi).

Menjelaskan situasi sebenar, Kelly berkata ramai yang tidak mengetahui bahawa rakaman tersebut sebenarnya sudah lama dibuat sebelum lagu-lagu berkenaan diumumkan sebagai finalis.

Kelly hanya mahu menghargai karya-karya tempatan. 

"Lagu-lagu itu sebenarnya saya sudah cover sejak tahun lalu lagi. Cuma ramai yang tak tahu kerana ia dibuat sebelum lagu tersebut layak ke AJL40.

"Apa yang saya buat ini adalah usaha saya untuk menghargai karya mereka. Jadi bila ada yang kecam, saya tertanya juga apa sebenarnya masalah mereka.

"Kita bebas untuk lakukan sesuatu selagi ia memberi kebaikan. Dalam kes ini, saya cuma nak menghargai bakat tempatan. Tak perlu pun nak kecam," katanya kepada mStar. 

Tambahnya, tindakan merakamkan semula lagu-lagu tersebut adalah bukti rasa kagum terhadap bakat besar yang dimiliki oleh penyanyi-penyanyi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecaman tak jadi kudis, Kelly Azman bakal tampil 14 lagu cover sepanjang tahun ini

ARTIKEL BERKAITAN: Kelly Azman percaya pada bakat, tak patah semangat demi peminat

Kelly berharap agar orang ramai berhenti melemparkan kritikan yang tidak berasas dan mula melihat setiap perkongsiannya dari sudut yang lebih positif.

"Saya memang buat cover sebab saya hargai bakat mereka. Bagi saya, ketiga-tiga lagu itu memang antara yang terbaik," jelasnya.

"Saya harap selepas ini tak perlulah kecam lagi. Apa yang saya buat hanyalah untuk menyokong industri muzik tempatan," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain