INSTITUSI pendidikan negara 'digoncang' dengan beberapa kes tragik dan mengejutkan membabitkan pelajar sekolah sepanjang tahun 2025.
Pendedahan dan pembongkaran yang berlaku seterusnya mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Tambahan pula, ia bukan sahaja menyentuh isu disiplin, malah membabitkan keselamatan, moral dan kesejahteraan remaja.
Daripada kes salah laku seksual, masalah akhlak sehingga kegiatan buli yang berakhir tragedi dan pembunuhan, berikut merupakan lima kes tular yang mencerminkan cabaran dunia persekolahan masa kini.
1. Siasatan berterusan tragedi Zara Qairina
Kes kematian remaja berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir mencetuskan kemarahan ramai selepas didakwa terdapat unsur buli.
Siasatan masih dijalankan sehingga kini dan prosiding inkues akan disambung semula pada 21 Januari 2026 selepas kesemua saksi kanak-kanak selesai memberi keterangan.

Masyarakat mahukan keadilan dalam kes kematian Zara Qairina.
Untuk rekod, pelajar Tingkatan Satu ini ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu.
Zara Qairina bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, keesokan harinya.
Pada 18 Ogos, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan di dewan rakyat bahawa siasatan polis mendapati terdapat unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual menerusi hasil keterangan 195 saksi.
Susulan itu, lima remaja akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak berkaitan kes buli itu di bawah undang-undang baru anti-buli Malaysia.

Suspek kes tikam di Bandar Utama ditahan bersama dua senjata tajam.
2. Pelajar perempuan ditikam 200 kali di sebuah sekolah di Bandar Utama
Seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun maut selepas dipercayai ditikam oleh rakan sekolahnya yang berusia 14 tahun.
Kejadian pada 14 Oktober itu dilaporkan berlaku di Bandar Utama, Petaling Jaya di Selangor.
Ketika kejadian, mangsa menggunakan tandas sebelum didatangi suspek yang membawa senjata tajam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, tikaman pada dada dan leher dikenal pasti menjadi punca kematian pelajar perempuan terbabit.
3. Kes rogol pelajar Tingkatan Tiga di Melaka
Pada Oktober 2025, empat remaja lelaki berusia sekitar 17 tahun ditahan polis selepas seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga dipercayai dirogol secara bergilir-gilir di dalam kelas.
Lebih menyedihkan apabila kejadian itu turut dirakam yang mana videonya tersebar dalam kalangan pelajar.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan dan dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

Pelajar Tingkatan Empat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban. -Foto Sinar Harian
4. Pelajar Tingkatan Empat didakwa merogol rakan di kelas
Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan merogol seorang rakan perempuan berusia 14 tahun di dalam kelas sebuah sekolah menengah di Negeri Sembilan pada Mei lalu.
Prosiding dijalankan secara tertutup kerana kedua-dua mangsa dan tertuduh masih di bawah umur.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 dengan syarat tidak mengganggu mangsa dan saksi.
5. Empat remaja lelaki ditahan di Baling selepas disyaki terlibat kes rogol berkumpulan
Berdasarkan laporan media pada 16 Oktober, tiga pelajar sekolah dan bekas pelajar dari sekolah yang sama ditahan pada pukul 9.30 malam, Ahad.
Ia susulan bapa mangsa membuat laporan polis selepas dimaklumkan guru disiplin mengenai penularan video anaknya berbogel.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata, hasil siasatan mendapati, empat suspek terbabit melakukan seks termasuk secara berkumpulan pada Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi di dalam kelas di sekolah berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan dan menghantar pornografi kanak-kanak.


