PUSAT beli-belah Alamanda, Putrajaya tampil dengan wajah baharu hasil pembangunan semula bernilai RM100 juta, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai nadi gaya hidup moden dan runcit utama di bandar pentadbiran negara.
Dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Februari lalu, Alamanda berwajah baharu kini tampil sebagai mercu tanda yang mengutamakan hubungan insani dan pengalaman bermakna, melangkaui urusan jual beli semata-mata.
Transformasi yang dilaksanakan Suria KLCC Sdn Bhd dengan sokongan pelaburan daripada Putrajaya Holdings Sdn Bhd itu, menyaksikan lebih 170 rakan niaga runcit berada dalam Alamanda, peningkatan ketara berbanding 139 sebelum proses naik taraf dilaksanakan.
Hub peruncitan ini turut dimeriahkan dengan Escape Putrajaya, taman pengembaraan luar seluas 151,548 kaki persegi yang diwujudkan hasil kerjasama Sim Leisure Group Ltd.

Pengunjung boleh melakukan aktiviti luar bersama keluarga mahupun rakan.
Apa yang menarik, ia direka khas untuk aktiviti keluarga dan rakan-rakan dalam suasana alam semula jadi.
Penawaran program hiburan turut diperkukuh dengan pawagam TGV Cinemas 10 dewan, pusat bowling U-Bowl X dengan 26 lorong serta Manekineko Karaoke, manakala segmen gaya hidup dan keperluan harian dimeriahkan oleh Aeon Big, Parkson, MR D.I.Y. PLUS, Cold Storage dan KKV.
Bagi melengkapkan pengalaman gastronomi, Rasa Food Arena yang dinaik taraf tampil dengan gabungan citarasa tempatan dan antarabangsa yang meriah, mewujudkan hab tempat makan sosial yang meriah untuk keluarga dan rakan-rakan.
Selain daripada itu, terdapat pelbagai pilihan makanan dan minuman (F&B) di Alamanda seperti Cili Kampung, Oriental Kopi, CHAGEE, Bask Bear Coffee, Richeese Factory dan Chakri Village.
Mengangkat konsep ‘place to belong’, ruang dalaman Alamanda direka semula dengan lantai marmar, pengadang kaca dan susun atur moden bagi mewujudkan suasana lebih sofistikated dan mesra pengunjung.
Esplanade dan Plaza pula menghidupkan gaya hidup luar dengan sajian alfresco yang dilengkapi kipas HVLS, membolehkan keluarga bersantai sambil menyaksikan aktiviti di ESCAPE Putrajaya.

Kewujudan 10 dewan meningkatkan jumlah pengunjung dalam satu masa.
Reka bentuk inklusif turut diberi penekanan dengan kemudahan bilik ibu bapa, akses mesra OKU serta travelator untuk stroller dan kerusi roda, selain elemen kelestarian seperti sistem tadahan air hujan.
Dalam aspek perkhidmatan awam, Alamanda mencatat sejarah sebagai pusat beli-belah pertama di negara ini yang menempatkan Kiosk Sentuhan Madani, membolehkan orang ramai mengakses lebih 100 perkhidmatan kerajaan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di luar waktu pejabat.

Alamanda tampil sebagai ‘retailtainment’ menarik buat pengunjung.
Dalam pada itu, keberkesanan transformasi diterjemahkan menerusi prestasi komersial kukuh apabila Alamanda mencatat kadar penghunian sebanyak 95 peratus, selain peningkatan 27 peratus kawasan boleh sewa bersih (NLA) kepada kira-kira 199,000 kaki persegi.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata, pembaharuan itu menandakan ‘kelahiran semula’ ikon berusia dua dekad sebagai destinasi gaya hidup yang bersedia menghadapi masa depan.
“Kami tidak sekadar menyegarkan semula sebuah pusat beli-belah, sebaliknya menetapkan penanda aras baharu bagaimana ruang runcit mampu memacu penglibatan komuniti dan kejayaan komersial menerusi konsep ‘retailtainment’,” katanya.
Menurutnya, gabungan ESCAPE Putrajaya, peluasan NLA serta kemasukan lebih 60 kedai baharu berjaya menarik jenama antarabangsa dan tempatan, sekali gus mengukuhkan Alamanda sebagai enjin ‘placemaking’ utama di Putrajaya.
Malah seiring pelancaran semula itu, Alamanda turut menganjurkan Pertandingan Mewarna ASEAN serta Kejohanan Catur Pantas Alamanda dan pelbagai program komuniti lain, sebagai simbol komitmen pusat beli-belah itu terhadap penglibatan warga Putrajaya dan pembangunan bakat muda.
Dalam usaha kelestarian, e-Voucher diperkenalkan sebagai alternatif mesra alam menggantikan baucar fizikal, selain inisiatif Green Ribbon Pin bagi menyokong kesedaran kesihatan mental dengan sumbangan RM10 kepada NGO terpilih bagi setiap pin yang dijual.
Untuk rekod, pembangunan semula yang bermula 20 Jun 2023, merupakan naik taraf pertama sejak Alamanda dibuka pada 2004.
Untuk maklumat lanjut, layari www.alamanda.com.my atau Facebook Alamanda Shopping Centre.


