suria

K'jaan PP Umum Aset Exco

GEORGE TOWN: Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang, termasuk ex-officio seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Undang-Undang Negeri, mengisytiharkan harta mereka secara terbuka, pada Khamis.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, langkah ini adalah selaras dengan amanah peribadi dan juga komitmen politik kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang kepada penduduk negeri itu.

Katanya, sudah jelas terbukti bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang bukan sahaja bersih dari segi fizikal, tetapi juga bersih dan telus dalam pentadbiran.

“Kita telah menunjukkan kesungguhan terhadap integriti nasional dengan pengisytiharan harta penjawat-penjawat awam tertinggi, iaitu Ahli-ahli Exco”.

“Ini adalah selaras dengan Akta Maklumat Bebas yang diperkenalkan dalam Dewan Undangan Negeri tahun lepas serta sistem Tender Terbuka yang telah mendapat pujian daripada Transparency International (TI) dan juga Ketua Audit Negara.

“Saya telah mencadangkan enam langkah integriti untuk memastikan kepimpinan yang lebih bersih berdasarkan prinsip CAT (cekap, akauntabel dan telus),” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Enam langkah itu antara lain ialah, parti-parti politik harus diharamkan daripada melibatkan diri dalam perniagaan, yang lazimnya membawa kepada konflik kepentingan.

“Bagaimana politik boleh bercampur dengan perniagaan, apabila politik itu bertujuan untuk menjaga kepentingan awam manakala tujuan perniagaan adalah untuk keuntungan peribadi?," ujarnya.

Menurut Guan Eng, pengharaman percampuran politik dengan perniagaan harus diikuti dengan kewujudan sistem tender terbuka untuk menghentikan kapitalisme kroni.

Artikel Lain