PERTENGKARAN yang berpunca daripada tunggakan bayaran kereta bertukar cemas apabila seorang wanita didakwa mengugut dua pekerja syarikat kewangan menggunakan sepucuk pistol.
Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 4.20 petang di sebuah kawasan tinjau di Phuket, Thailand, pada Isnin.
Menurut polis dari Balai Polis Wichit, mangsa merupakan pekerja wanita sebuah syarikat persendirian yang bertindak bagi pihak firma pembiayaan kenderaan.
Jelasnya, kedua-dua mangsa pada awalnya cuba menjejaki sebuah Honda Jazz milik pelanggan yang didakwa gagal membuat bayaran pinjaman kenderaan selama lima bulan berturut-turut, membabitkan tunggakan melebihi 33,000 baht (kira-kira RM4,280).
"Mereka menghampiri wanita berkenaan untuk berbincang mengenai hutang tersebut.
"Namun suspek enggan memberi kerjasama dan menjadi berang selepas dimaklumkan kenderaan itu boleh ditarik sekiranya bayaran tidak diselesaikan," kata polis.
Tambahnya, situasi menjadi tegang apabila wanita itu didakwa mengacukan objek menyerupai senjata api ke arah kedua-dua pekerja berkenaan.
Bimbang keselamatan diri, mereka bertindak meninggalkan lokasi kejadian sebelum membuat laporan di Balai Polis Wichit.
Susulan laporan itu, polis mengenal pasti suspek sebagai seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dikenali sebagai Patch yang tinggal di Moo 1, Wichit.
Wanita terbabit kemudiannya hadir ke balai polis dengan membawa sepucuk revolver Smith & Wesson berkaliber .38 yang berdaftar dengan lesen senjata api dikeluarkan di daerah Hat Samran, Trang.
Semasa soal siasat, suspek mengaku menggunakan senjata tersebut namun mendakwa bertindak dalam keadaan panik dan tertekan.
Dia turut memaklumkan menghidap masalah paru-paru serta cemas berhubung kemungkinan kehilangan kenderaan, selain menegaskan perbuatannya tidak disengajakan.
Polis bagaimanapun menahan wanita itu dan mendakwanya atas kesalahan memiliki senjata api tanpa kebenaran sah kerana didaftarkan atas nama individu lain, selain mengugut orang awam menggunakan senjata.
Kes masih dalam siasatan dan tindakan undang-undang lanjut sedang dijalankan. -Agensi


