suria

Tentera dituduh bunuh isteri melalui cara pengabaian, biar luka terlantar dipenuhi ulat

Keadaan mangsa sebelum dibawa ke hospital. -Foto Korea Herald

SEORANG anggota tentera bakal dibicarakan atas pertuduhan membunuh isterinya yang didapati meninggal dunia akibat jangkitan luka teruk pada kulit kerana terlantar dalam tempoh yang lama.

Menurut Arahan Siasatan Jenayah Tentera, suspek yang merupakan pegawai tidak bertauliah berusia lingkungan 30-an pada awalnya dirujuk kepada pendakwa tentera selepas disyaki menyebabkan kematian melalui pengabaian terhadap isterinya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan pada Isnin memutuskan untuk mendakwa lelaki terbabit atas pertuduhan membunuh, dengan mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan melalui kelalaian (murder by omission).

Ia bermaksud kegagalan sengaja bertindak oleh individu yang mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk menjaga mangsa sehingga menyebabkan kematian.

Berdasarkan hasil siasatan, suspek didakwa tidak mendapatkan rawatan perubatan buat isterinya yang mengalami luka disebabkan sakit terlantar sejak Ogos lalu. 

Lelaki itu hanya menghubungi perkhidmatan kecemasan pada 11 November selepas isterinya berada dalam keadaan separuh sedar.

Ketika pasukan kecemasan tiba, mangsa yang juga berusia 30-an ditemui dengan luka terlantar yang teruk sehingga tisu badan dijangkiti, mereput dan dipenuhi ulat.

Mangsa mengalami serangan jantung ketika dalam perjalanan ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.

Pihak hospital kemudian memaklumkan kejadian itu kepada polis sebelum suspek ditahan pada hari yang sama.

Menurut penyiasat, mangsa dipercayai mengalami gangguan panik dan kemurungan sejak Ogos serta mempunyai kesukaran untuk bergerak.

Malah suspek didakwa tidak membawa mangsa mendapatkan rawatan di hospital meskipun mengetahui keadaan kesihatan isterinya semakin merosot, termasuk mengalami luka terlantar yang serius.

Walau bagaimanapun masih belum jelas sama ada maklumat itu berdasarkan rekod perubatan atau kenyataan suspek semata-mata.

Dalam pada itu, kemarahan orang ramai terus memuncak selepas ahli keluarga mangsa mendedahkan kepada media bahawa suspek berulang kali memberi jaminan isterinya dijaga dengan baik, selain menghalang atau mengelakkan lawatan keluarga ke rumah mereka. -Agensi

 

Artikel Lain