suria

Angkara dendam lama, remaja 16 tahun maut ditikam rakan sekelas

Perselisihan faham ada kalanya berakhir dengan targedi akibat hilang pertimbangan akal. -Gambar hiasan

SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas didakwa ditikam oleh rakan sekelasnya di dalam kelas, dalam kejadian di sebuah pusat bimbingan swasta pada Isnin.

Menurut polis, kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian lama antara kedua-dua remaja tersebut.

Kejadian berlaku di Rajgurunagar, dekat Pune, India.

Seorang pegawai dari Balai Polis Khed berkata, mangsa dan suspek pernah bergaduh beberapa bulan lalu berhubung isu kecil.

Beberapa hari sebelum kejadian, mangsa bersama rakan-rakannya didakwa memukul suspek, menyebabkan suspek menyimpan perasaan marah.

"Pada hari kejadian (Isnin), ketika kelas sedang berlangsung, suspek membawa sebilah pisau di dalam begnya dan duduk di belakang mangsa. 

"Dia kemudian menikam mangsa di bahagian tekak dan perut sebelum melarikan diri," katanya.

Mangsa segera dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Suspek kemudiannya berjaya ditahan dan dibawa ke Mahkamah Juvana untuk tindakan lanjut.

Polis memaklumkan siasatan terperinci masih dijalankan, termasuk meneliti unsur permusuhan terdahulu antara kedua-dua pelajar berkenaan. -Agensi

 

Artikel Lain