suria

Wanita hanyut bersama motosikal ketika redah banjir, mayat tersepit dalam paip bawah jambatan

Seorang wanita maut selepas dihanyutkan arus deras di Bali.

SEORANG wanita dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir dengan menaiki sebuah motosikal pada awal pagi Ahad.

Mayat wanita itu kemudian ditemukan di bawah Jambatan Jalan Krisnantara di Kampung Tibubeneng, Bali, Indonesia.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Badung, Inspektor Pertama Ni Nyoman Ayu Inastuti.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Denpasar, I Nyoman Sidakarya pula memaklumkan mangsa ditemukan tersepit di dalam sebuah paip.

“Berdasarkan laporan, mangsa berada di bawah jambatan dan tersepit di dalam sebuah paip,” katanya.

Identiti mangsa belum dikenal pasti, namun dia dipercayai merupakan seorang pelancong.

Mayat mangsa dibawa ke sebuah hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

Kesan Taufan Tropika Seed 93S sedang mengganas di seluruh pulau peranginan itu dengan membawa hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora.

Ia turut menyebabkan banjir besar di kawasan tumpuan pelancong seperti Kuta, Seminyak dan Denpasar. -Agensi

Artikel Lain