SEORANG bayi perempuan berusia enam bulan maut dipercayai akibat dihempas ke lantai oleh bapa kandungnya.
Insiden tragis itu berlaku disebabkan suspek tidak tahan mendengar tangisan anaknya.
Kejadian dilaporkan berlaku di Ciputat, Tangerang Selatan di Indonesia pada petang Ahad.
Ketua Polis Ciputat Timur, Komisioner Bambang Askar Sodiq berkata, suspek berusia 28 tahun didakwa bertindak ganas dengan menghempas bayinya ke lantai sebanyak dua kali sehingga menyebabkan kecederaan serius di bahagian kepala.
Ketika kejadian, suspek sedang menjaga mangsa di sebuah warung.
Dia kemudiannya hilang kawalan emosi selepas bayi berkenaan tidak berhenti menangis walaupun ketika itu isterinya sedang menyediakan susu.
"Suspek menghempas kepala bayi ke lantai sehingga mengalami pendarahan," katanya.
Tambah beliau, bayi tersebut kemudian dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan akibat pendarahan di kepala.
Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku ketika rumah suspek dalam keadaan gelap kerana bekalan elektrik terputus selepas kehabisan token, menyebabkan bayi terus menangis.
Kes berkenaan kini disiasat pihak polis mengikut peruntukan undang-undang berkaitan penderaan kanak-kanak. -Agensi


