SEORANG lelaki berusia 18 tahun tergamak membunuh dan membuang mayat isterinya ke dalam sebuah perigi.
Kejadian yang dilaporkan berlaku di Kutch, Gujarat di India itu dipercayai berpunca daripada gangguan 'orang ketiga'.
Menurut polis, suspek didakwa mengelar leher isterinya yang berusia 19 tahun menggunakan senjata tajam pada Jumaat malam.
Dia kemudian memasukkan mayat mangsa ke dalam guni dan membawanya menaiki motosikal ke sebuah perigi di ladang tempatnya bekerja.
Mayat mangsa kemudiannya dicampak ke dalam perigi tersebut.
Tambah polis, kehilangan wanita itu hanya disedari pada pagi Sabtu apabila mangsa dilaporkan hilang sekitar pukul 7 pagi, sebelum keluarganya menemui pakaian mangsa terapung di dalam perigi yang membawa kepada penemuan mayat.
Polis turut merampas sebilah pisau dan motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan seterusnya membuka siasatan mengikut Seksyen 103(1) Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS).
Siasatan awal mendapati suspek telah menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita lain sejak lima tahun lalu dan terus berhubung selepas perkahwinannya. -Agensi


