SEORANG jurutera telah dipecat selepas didapati kerap menghabiskan masa di tandas dalam tempoh yang terlalu lama, walaupun mendakwa mengalami masalah buasir.
Lelaki yang dikenali sebagai Li, dari wilayah Jiangsu, timur China, didapati mengambil sebanyak 14 kali rehat (break) di tandas dalam tempoh sebulan antara April hingga Mei 2024.
Rekod daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tempoh ke tandas paling lama mencecah sehingga empat jam.
Kes tersebut dilaporkan oleh Persekutuan Kesatuan Sekerja Shanghai selepas Li mengheret majikannya ke mahkamah atas dakwaan penamatan kontrak pekerjaan secara tidak sah.
Sebagai bukti, Li mengemukakan ubat buasir yang dibeli oleh pasangannya secara dalam talian pada Mei dan Jun tahun lalu, selain rekod pembedahan.
Li kemudian memfailkan saman menuntut pampasan sebanyak 320,000 yuan (kira-kira RM185,526) daripada syarikat tersebut.
Bagaimanapun, pihak syarikat mengemukakan rakaman CCTV yang menunjukkan Li kerap masuk ke tandas untuk tempoh yang sangat lama.
Mahkamah kemudian memutuskan bahawa masa yang dihabiskan oleh Li di tandas adalah 'jauh melebihi' keperluan fizikal biasa.
Mahkamah turut mendapati bahawa rekod perubatan yang dikemukakan Li adalah selepas kejadian rehat di tandas berlebihan itu berlaku.
Selain itu, Li gagal memaklumkan majikannya tentang keadaan kesihatannya atau memohon cuti sakit terlebih dahulu, seperti yang ditetapkan dalam kontrak pekerjaan.
Menurut syarikat, mereka cuba menghubungi Li melalui aplikasi sembang selepas menyedari ketiadaannya, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
Jawatan Li juga memerlukan dirinya sentiasa bersedia untuk memberi respons terhadap permintaan kerja.
Syarikat tersebut turut mendapatkan kebenaran kesatuan sekerja sebelum mengambil tindakan pemecatan.
Selepas dua kali perbicaraan di mahkamah, kedua-dua pihak akhirnya mencapai penyelesaian.
Syarikat bersetuju memberikan Li elaun sebanyak 30,000 yuan (kira-kira RM17,393) sebagai mengambil kira sumbangannya kepada syarikat serta kesukaran yang dihadapinya selepas kehilangan pekerjaan. -Agensi


