suria

Bapa, anak lelaki dalang insiden tembakan di Pantai Bondi... 16 maut termasuk seorang penembak

Rakaman video memaparkan dua individu melepaskan tembakan ketika sambutan Hanukkah di Pantai Bondi pada Ahad. -Foto media sosial

DUA lelaki bersenjata yang bertanggungjawab membunuh 15 orang dalam satu sambutan komuniti Yahudi di Pantai Bondi, Sydney, pada Ahad, dikenal pasti sebagai seorang bapa dan anak lelakinya.

Dalam satu sidang akhbar pada Isnin, polis berkata bapa berusia 50 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian, sekali gus menjadikan jumlah korban meningkat kepada 16 orang. 

ARTIKEL BERKAITAN: Insiden tembakan di Pantai Bondi, 10 individu termasuk penembak terbunuh

Anak lelakinya yang berusia 24 tahun pula kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital.

Polis memaklumkan seramai 40 individu masih dirawat di hospital akibat serangan tersebut, termasuk dua pegawai polis yang berada dalam keadaan serius namun stabil. 

Kesemua mangsa yang terlibat berusia antara 10 hingga 87 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang individu yang berjaya merampas senjata api salah seorang penyerang ketika kejadian telah dipuji sebagai wira atas tindakan beraninya.

Saluran televisyen Channel Seven melaporkan, individu berkenaan dikenali sebagai Ahmed al Ahmed.

Menurut laporan, Ahmed, seorang pemilik kedai buah-buahan berusia 43 tahun, ditembak dua kali dan telah menjalani pembedahan. -Agensi

Artikel Lain